Vaksinasi mampu turunkan kes serius Covid-19 - PM - Utusan Malaysia

Vaksinasi mampu turunkan kes serius Covid-19 – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti bagi mempercepat vaksinasi adalah satu tindakan segera kerajaan menangani kenaikan kes-kes positif secara mendadak di Selangor dan Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, data-data menunjukkan kes-kes Covid-19 yang serius mencatat penurunan ketara dengan pemberian vaksin.

Beliau berkata, sebagai contoh, dalam kalangan kumpulan warga emas (60 tahun ke atas), trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori empat dan lima mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan lalu.

“Kumpulan warga emas adalah fasa dua dalam pemberian vaksin Covid-19 dan kini impak positif pemberian vaksin ini mulai dapat dilihat,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham baba mengumumkan pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti untuk Kuala Lumpur dan Selangor.

Semua 6.1 juta populasi dewasa di dua negeri itu akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini melibatkan pemberian vaksin pada kadar 1.3 juta dos sehingga 25 Julai dan 1.3 juta dos lagi antara 26 Julai hingga 1 Ogos ini.

Sehingga kini, 3.5 juta populasi dewasa di dua negeri itu Selangor dan KL menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menurut Perdana Menteri, kesan vaksinasi juga boleh dilihat bagi petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana mereka menerima vaksin Covid-19 lebih awal lagi.

Muhyiddin menjelaskan, didapati hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas kesihatan itu dijangkiti Covid-19 selepas lengkap divaksinasi, manakala sebanyak 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dan tiada berada dalam kategori 5.

“Satu lagi contoh ialah Labuan, iaitu tempat di mana varian delta mula dikesan di negara kita. Kerajaan mengambil tindakan segera dengan menambah bekalan vaksin untuk Labuan.

“Hasilnya, jumlah kes positif dan kes kematian akibat Covid-19 di Labuan dapat dikurangkan dengan peningkatan kadar vaksinasi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bahawa lebih 90 peratus kes positif di negara adalah dalam kategori satu dan dua agak melegakan.

Ini bermakna, kata beliau, kebanyakannya adalah tidak bergejala atau bergejala ringan yang mampu untuk pulih semula.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengarahkan KKM supaya lebih bersedia untuk menerima kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan memberikan rawatan terbaik.

“Ini memandangkan dunia sedang mencatatkan trend kenaikan kes-kes Covid-19 dengan kemunculan varian-varian baharu yang lebih ganas.

“Kita semua sedang berusaha untuk melawan Covid-19. Kita mesti sentiasa tabah dan cekal untuk terus lawan dan lawan. Insya-Allah, kita akan menang akhirnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya