Vaksinasi: Kesedaran masyarakat Orang Asli Bukit Payung tinggi - Utusan Malaysia

Vaksinasi: Kesedaran masyarakat Orang Asli Bukit Payung tinggi

HENRY Sum Agong (kanan) menyantuni penerima vaksin, Hadi Degil di rumahnya di Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kesemua 314 penduduk Kampung Orang Asli Bukit Payung di sini yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 hadir ke Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Pada awalnya, seramai 230 orang sahaja dijangka menerima suntikan berkenaan dan jumlah itu bertambah apabila ada yang hadir secara walk-in.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong berkata, jumlah masyarakat Orang Asli yang bersetuju menerima suntikan vaksin sangat memberangsangkan berikutan pada April lalu, hanya 139 orang sahaja yang bersetuju disuntik.

Menurut beliau, keyakinan penduduk terhadap program vaksinasi meningkat selepas Tok Batin, Nur Isjemei Ismail menjadi antara individu terawal yang menerimanya pada 25 Jun lalu. 

“Peranan yang dimainkan oleh pemimpin setempat, Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jumlah penduduk yang bersetuju menerima vaksin.

“Saya berharap usaha murni pihak kerajaan ini akan berterusan dan berjaya kerana sangat penting untuk penduduk Orang Asli mendapat vaksinasi bagi membolehkan negara mencapai imunisasi kelompok secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni penerima vaksin di kampung berkenaan.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Menurut Henry, jumlah Orang Asli yang layak divaksin adalah seramai 144,180 orang dan melalui inisiatif Jakoa, seramai 36,383 orang sudah bersetuju untuk vaksinasi.

Tambahnya, berdasarkan rekod Jakoa, seramai 9,163 orang telah menerima suntikan dos pertama sementara 1,882 orang lagi selesai dos kedua.

“Kerajaan bersama pihak berwajib akan mempergiatkan lagi usaha bagi menambah bilangan yang bersetuju menerima vaksin bagi mencapai sasaran 80 peratus rakyat Malaysia menerima vaksinasi sebelum akhir tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya