'Vaksin angin' : 13 kes dilaporkan di seluruh negara - Utusan Malaysia

‘Vaksin angin’ : 13 kes dilaporkan di seluruh negara

SATU ciapan di Twitter yang tular berkaitan kenyataan seorang lelaki yang juga penerima vaksin nyaris disuntik dengan vaksin kosong. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 13 laporan polis telah diterima berhubung dakwaan pemberian vaksin kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) sejak beberapa hari yang lalu di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh kes berlaku di PPV Kuala Lumpur diikuti Selangor (tiga kes) dan Kedah, Perak serta Melaka (satu kes).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan itu.

Jelas beliau, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan kesemua kes masih di peringkat siasatan.

“Bagi kes melibatkan penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran, siasatan akan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

“PDRM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung penipuan berkaitan penjualan vaksin Covid-19.

“Sehingga kini, vaksin Covid-19 hanya dibekalkan oleh kerajaan mengikut Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan sebarang penjualan atau pembekalan vaksin melalui mana-mana medium lain termasuk secara dalam talian adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata beliau, polis turut mengingatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau ciapan yang belum dipastikan kebenarannya terutama bagi isu-isu sensitif seperti pemberian vaksin.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati membuat laporan palsu berhubung isu ini,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya