GEORGETOWN: Kerajaan negeri dan pihak industri yang diwakili Penang Master Builders menyeru Kerajaan Pusat khususnya Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) mengutamakan sektor pembinaan dalam fasa-fasa pemberian vaksin Covid-19 yang seterusnya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, sektor pembinaan sering dibelenggu kluster jangkitan Covid-19 memandangkan faktor kerja serta penginapan pekerja-pekerja dalam sektor tersebut.
“Namun, sektor pembinaan merupakan penyumbang ekonomi yang penting terutama ketika pandemik.
“Ini kerana projek-projek infrastruktur dapat menjana aktiviti ekonomi yang melibatkan ekosistem yang luas merangkumi tenaga buruh, pembekal-pembekal barangan dan jentera serta perkhidmatan-perkhidmatan yang berkaitan seperti seni bina, kejuruteraan, guaman dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zairil, kerajaan negeri menyambut baik usaha Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta Kementerian Kerja Raya untuk melaksanakan Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) bagi mempercepatkan program vaksinasi dalam kalangan tenaga kerja pembinaan.
Katanya, pendaftaran CIVac bagi wilayah utara akan dilancarkan pada hari ini dan Pulau Pinang telah diamanahkan menjadi tuan rumah pusat pemberian vaksinasi (PPV) kepada pekerja-pekerja industri pembinaan.
Jelasnya, pihaknya difahamkan terdapat seramai 47,950 pekerja yang berdaftar dengan CIDB di negeri ini manakala di Perak (40,347); Kedah (29,062) dan Perlis (5,690).
“Seramai 25,000 orang pekerja akan diberi vaksin bagi fasa ini, namun keperluan vaksin adalah jauh melebihi jumlah yang diperuntukkan bagi fasa akan datang ini,” katanya.
Dalam pada itu kata beliau, pihaknya berharap inisiatif yang dilaksanakan menerusi CIVac akan membantu Pulau Pinang mencapai objektif untuk beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ogos ini.
“Memandangkan pendaftaran bagi program ini adalah berasaskan siapa cepat dia dapat, majikan-majikan harus menjalankan tanggungjawab mendaftar pekerja mereka bagi program ini.
“Pendaftaran boleh dibuat melalui portal https://vaccine.cidblink.com bermula hari ini dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-4048880 atau emel [email protected],” katanya. – UTUSAN










