PETALING JAYA: Ahli Parlimen UMNO disaran kembali memegang slogan parti agar tidak berlakunya perpecahan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO adalah satu kuasa yang paling tinggi dan tiada biro yang boleh menyelesaikan permasalahan itu.
“Saya yakin akhirnya mereka yang berpecah itu akan kembali kepada UMNO selagi mereka berpegang kepada falsafah perjuangan UMNO sesuai dengan slogan ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’.
“Malah dalam konteks memuktamadkan usul menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN), keputusan MT tepat kerana minit mesyuarat membuktikan majoriti bahagian UMNO di seluruh negara sebenarnya mengusulkan UMNO menarik sokongan serta-merta pada awal tahun lalu.
“Lebih 30 bahagian lagi mahu parti keluar kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Mustapha, perlu diingat bahawa UMNO menghadapi suasana itu bukan baru tetapi sejak penubuhannya.
“Ia telah berkali-kali, malah seawal penubuhannya UMNO telah menghadapi situasi sebegini.
“Tapi UMNO tetap utuh, walaupun pemimpin bersilih ganti tetapi UMNO sebagai satu institusi Melayu tetap bertahan hingga sekarang,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pendirian yang bakal diambil ahli-ahli Parlimen UMNO, beliau yakin majoriti mereka akan patuh terhadap ketetapan terkini parti.
“Mereka kena ingat, keputusan UMNO menarik sokongan terhadap Kerajaan PN adalah kehendak akar umbi dan majoriti daripada bahagian, bukan kehendak Presiden semata-mata,” katanya.