UMNO jangan campur urusan Bersatu, jaga 'rumah tangga' sendiri

UMNO jangan campur urusan Bersatu, jaga ‘rumah tangga’ sendiri – Osman Sapian

OSMAN Sapian (kiri) menyerahkan daging korban kepada wakil masjid untuk diagihkan kepada penerima di Pusat Khidmat DUN Kempas, Johor Bahru. - FOTO/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi diingatkan agar tidak mencampuri urusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebaliknya menjaga ‘rumah tangganya’ sendiri dalam UMNO.

Bekas Menteri Besar yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian berkata, Mohd. Puad tidak perlu sibuk dengan hal dalaman parti lain sedangkan UMNO sendiri sedang berdepan masalah dalaman lebih besar.

Jelasnya, tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen Bersatu Johor yang mahu menyertai UMNO seperti didakwanya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu perkara yang tidak berasas sama sekali.

“Segala apa yang dikatanya tidak benar, tiada dengar (ADUN dan Ahli Parlimen Bersatu mahu masuk UMNO), tetapi ramai dalam kalangan parti-parti lain nak masuk Bersatu, bukan kita yang nak keluar,” katanya yang juga ADUN Kempas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan lembu korban kepada masjid dan surau sekitar kawasan Kempas di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Mohd. Puad mendakwa, beberapa ADUN Bersatu Johor sudah bersedia meninggalkan parti itu untuk menyertai UMNO dan perkara tersebut bukan rahsia sebaliknya mereka hanya menunggu masa yang sesuai.

Mohd. Puad juga turut mencabar empat ADUN Bersatu Johor yang sebelum ini mengancam akan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor untuk segera berbuat demikian.

Sementara itu, Osman yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor turut memberitahu, Mohd. Puad membuat kenyataan itu kerana mahu menutup kepincangan yang berlaku dalam UMNO ketika ini.

“Jaga bahagian sendiri dan UMNO sahajalah, buat apa kata rumah tangga Bersatu. Nak keluar ke nak masuk ke, belum kira lagi berapa ramai lagi orang UMNO masuk Bersatu,” katanya.

Pada masa sama, Osman turut menafikan dakwaan berlakunya pergolakan dalam Bersatu sebaliknya kata beliau, UMNO lebih teruk lagi apabila kini terpecah kepada tiga kumpulan.

“Apa buktinya (Bersatu bergolak), ini hanya cakap-cakap kedai kopi. Bersatu Johor tiada sebarang perpecahan di kesemua 26 bahagian seluruh negeri, tiada masalah.

“Semua jentera di peringkat bahagian juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×