UMK peruntuk RM20,000 subsidi bantu pelajar balik bercuti - Utusan Malaysia

UMK peruntuk RM20,000 subsidi bantu pelajar balik bercuti

SEBAHAGIAN pelajar menaiki bas ketika proses penghantaran mereka pulang ke rumah masing-masing di UMK Kampus Kota, Kota Bharu semalam. - IHSAN UMK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan subsidi pembayaran perkhidmatan bas dan tiket penerbangan bernilai RM20,000 bagi membolehkan pelajarnya pulang bercuti selepas Semester Februari 2020/2021 berakhir ketika ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Dr. Razli Che Razak berkata, subsidi tersebut antara usaha pihak universiti bagi meringankan beban pelajar yang berdepan kekangan untuk balik bercuti.

Katanya, operasi penghantaran pulang pelajar kali ini mendapat kerjasama Malaysia Relief Agency (MRA) Kelantan yang turut menyumbangkan bantuan makanan bernilai RM10,000 kepada pelajar UMK.

“Pelajar institut pendidikan tinggi (IPT) dibenarkan pulang ketika cuti semester bermula Isnin lalu, selaras keputusan Kementerian Pengajian Tinggi pada 9 Julai selepas Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pelepasan untuk pelajar pulang Fasa 1 hari ini melibatkan 142 pelajar Zon Utara (Perlis, Kedah dan Perak) dan Zon Timur (Terengganu dan Pahang) menerusi empat bas berasingan manakala pelajar Sabah dan Sarawak bermula sejak semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau proses penghantaran pulang pelajar universiti tersebut bersama Presiden MRA, Dr. Rosemi Salleh di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Dalam pada itu, Razli berkata, kaedah penghantaran pulang pelajar ketika ini terhad menggunakan bas yang diuruskan oleh pihak universiti, kenderaan sendiri dan penerbangan awam.

Kata beliau, daripada 860 penuntut yang berada di tiga kampus UMK untuk semester Februari sesi Pengajian 2020/2021, seramai 811 memohon untuk pulang bercuti manakala selebihnya memilih untuk terus berada di kampus terutama Kampus Jeli.

Beliau turut berkata, penghantaran pulang 254 lagi pelajar bagi Fasa 2 pula akan dibuat pada 1 dan 2 Ogos depan yang turut menggunakan bas sewa, kenderaan universiti dan kenderaan sendiri pelajar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN