Ular sawa 80kg sepanjang 6 meter ditangkap - Utusan Malaysia

Ular sawa 80kg sepanjang 6 meter ditangkap

SEEKOR ular sawa batik sepanjang enam meter berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Seberang Perai Tengah di Kampung Machang Bubuk, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dan seberat kira-kira 80 kilogram (kg) ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Kampung Machang Bubuk, di sini hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah SPT, Kapten (PA) Mohd. Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan penemuan seekor ular sawa kira-kira pukul 8.45 pagi.

Menurutnya, haiwan itu didapati sedang melingkar di dalam semak di belakang rumah wanita berkenaan ketika dia ingin membersihkan kawasan tersebut.

Beliau berkata, anggota APM kemudiannya dikejarkan ke lokasi dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular sepanjang kira-kira enam meter itu.

“Kami tidak berdepan masalah kerana ular sawa itu tidak agresif berikutan masih kekenyangan atau fasa untuk menyalin kulit.

“Ular itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Seberang Perai untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, panggilan kecemasan tangkapan ular adalah kes tertinggi dikendalikan APM Machang Bubuk pada bulan lalu iaitu membabitkan 108 daripada 229 kes.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi APM atau pasukan keselamatan lain sekiranya berdepan reptilia berkenaan.

“Jangan cuba menangkap ular sendiri sebaliknya perhatikan pergerakan haiwan itu sebelum pasukan keselamatan tiba,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN