PUTRAJAYA: Jika sebelum ini, kecoh dalam kalangan warganet apabila sebuah program agama disiarkan stesen tempatan yang memaparkan Seremban ditulis terletak di Selangor.
Bagaimanapun, pengguna media sosial negara ini riuh pula apabila sebuah stesen swasta terkenal Indonesia menyiarkan babak panorama Kuala Lumpur sebagai Singapura.
Perkara itu mulanya didedahkan menerusi akaun Facebook seorang rakyat negara itu, Risa Comics, dengan memuat naik foto satu adegan berkenaan sebelum tular sejak malam tadi.
Filem televisyen (FTV) itu memaparkan Menara Berkembar Petronas namun ditulis lokasinya di Singapura.
Semakan Utusan Online mendapati bahawa FTV berdurasi 1 jam 30 minit itu ditayangkan pukul 11.30 pagi Waktu Indonesia Barat (12.30 tengah hari di Malaysia) semalam.
Saluran televisyen itu dapat diikuti jelas penduduk negara ini di selatan Johor menerusi platform terrestrial digital MyFreeview.
“Sejak bila pula ibu pejabat Petronas di Kuala Lumpur sudah diambil oleh Singapura… Aduh ada saja pencipta FTV ini,” kata seorang warganet dengan nama Mohammad Zain Afzonnie.
Sementara seorang netizen Indonesia, Bagus Pradana menulis komen sinis: “Hmm, apakah mungkin itu bukanlah bangunan Petronas, melainkan semacam tiruan untuk pelancongan.”
Begitu juga komen perli seorang pengguna media sosial bernama Andi Prastio: ‘Fikir positif, di Singapura ada gedung amat tinggi sampai Menara Berkembar Petronas boleh kelihatan.”
Ramai warganet turut menjadikan babak itu bahan jenaka dengan memaparkan imej parodi Singapura pula dikenali Bandung, manakala New York di Amerika Syarikat sebagai Jakarta. – UTUSAN ONLINE










