Amerika Syarikat (AS), Ukraine, Lesotho, Kyrgyzstan, Perancis, Mongolia, Jepun, Kuwait, Belanda dan Itali adalah sebahagian daripada lebih 30 negara yang mendapat sama ada kerajaan, presiden atau perdana menteri baharu sepanjang tempoh Mac 2020 hingga sekarang; tempoh Covid-19 mula mengganas dalam erti kata sebenar.
Kebanyakan pertukaran disebabkan hukum-hukum lazim politik; kalah dalam pilihan raya, mengisi jawatan yang dikosongkan penyandang yang sakit, korupsi, disingkir sebab terlibat dengan skandal dan seumpamanya.
Peralihan kuasa yang boleh dikaitkan dengan Covid-19 sangat kecil. Antara negara itu adalah Perancis, Slovakia, Itali dan Mongolia. Kes yang melibatkan negara-negara itu pula berbeza antara satu dengan yang lain.
Di Perancis misalnya, Edouard Philippe yang menjadi perdana menteri sejak Mei 2017 terpaksa melepaskan jawatan setelah penghidap Covid-19 dan petugas barisan hadapan mengemukakan 90 aduan kepada Mahkamah Keadilan Republik sejak pertengahan Mac 2020 berhubung kekurangan pelitup muka dan peralatan lain. Atas sebab itu, Philippe dipersalahkan kerana gagal mengurus Covid-19.
Di Slovakia, Perdana Menterinya, Igor Matovic tersingkir pada akhir Mac lalu setelah tindakannya mengimport dua juta dos vaksin Sputnik V yang tidak mempunyai kelulusan peraturan Kesatuan Eropah dari Rusia mencetuskan kritikan keras penentang.
Giuseppe Conte berundur dari kerusi perdana menteri Itali pada 13 Februari lalu kerana bantahan pembangkang terhadap rancangannya untuk membelanjakan 209 bilion Euro daripada Tabung Pemulihan EU bagi tujuan mengatasi krisis Covid-19.
Di Mongolia peletakan jawatan perdana menterinya Khurelsukh Ukhnaa berpunca daripada klip video seorang wanita bersama bayinya yang menerima layanan tidak sepatutnya di sebuah pusat kuarantin. Video itu membangkitkan kemarahan khalayak sehingga mendesak perdana menteri berundur.
Ada kalangan menjadikan pertukaran teraju di negara-negara itu sebagai alasan menyokong hasrat menukar kerajaan dan perdana menteri, yang pada pendapat mereka gagal mengekang Covid-19.
Logik yang digunakan adalah jika di negara lain pertukaran perdana menteri atau presiden boleh berlaku tanpa menjejaskan usaha memerangi Covid-19, kenapa di negara ini tidak boleh? Soalan itu dilontarkan sebagai menyanggah satu pendapat lain bahawa pertukaran kerajaan dengan apa bentuk dan kaedah sekalipun tidak sesuai dilakukan pada saat negara berdepan dengan pandemik seperti sekarang.
Memang benar jika dilihat sekali imbas, pertukaran perdana menteri tidak menjejaskan Perancis, Slovakia, Itali dan Mongolia. Begitu juga dengan pertukaran presiden di AS yang berlaku ketika negara itu tenat berdepan dengan Covid-19.
Tetapi tidak semua lancar. Itu realitinya. Perancis contohnya, ketika Philippe berundur kes Covid-19 di negara itu masih terkawal. Pada 3 Julai 2020, iaitu hari dia melepaskan jawatannya jumlah kes positif di negara itu adalah 156,683, kes harian masih tiga angka iaitu 546, manakala kematian, 29,868.
Selepas dia meletakkan jawatan kes positif harian tidak pula berkurangan, sebaliknya meningkat sehingga mencapai kemuncaknya iaitu 83,324 kes sehari pada 7 November 2020. Kes kematian juga ketara bertambah daripada 29,868 jumlah kumulatif pada 3 Julai menjadi 64,780 pada 31 Disember 2020. Pada 13 Julai lalu, kematian akibat Covid-19 di Perancis mencecah 111,407!
Memang benar kes jangkitan harian dan kes kematian menurun dengan drastik bermula dari Jun lepas. Tetapi harus diingat bahawa ia berlaku setelah hampir setahun Philippe berundur.
Di AS kejayaan negara itu mengawal Covid-19 yang nampak ketara sekarang ini bukanlah disebabkan peralihan kuasa dari Trump kepada Biden walaupun itulah gimik politik yang cuba dipamerkan oleh penyokong-penyokong Demokrat.
Data CDC (Centers for Disease Control and Prevention) menunjukkan kes baharu setiap hari menurun sejak 13 Januari 2021, iaitu seminggu sebelum Biden secara rasmi dilantik jadi presiden. Selama minggu itu, jumlah kes Covid-19 harian menurun daripada 243,799 menjadi 193,481. Sebenarnya, kadar kes jatuh lebih cepat seminggu sebelum pelantikan Biden dalam tempoh antara 20 Januari dan 16 Februari 2021, iaitu selepas dia dilantik.
Begitu juga dengan vaksinasi. Data CDC menunjukkan vaksinasi harian meningkat dengan stabil sejak 14 Disember 2021. Walaupun jumlah vaksinasi harian meningkat 60% dalam tempoh 25 hari setelah Biden memegang jawatan, namun ia sebenarnya meningkat 278% dalam tempoh 25 hari sebelum pelantikannya.
Kesimpulannya, peralihan kuasa bukanlah faktor penentu menang atau kalah dalam perang melawan Covid-19. Tiada jaminan dengan menukar kerajaan atau pucuk pimpinan, masalah akan selesai. Yang dikhuatirkan, ia akan menimbulkan lebih banyak kecelaruan sehingga memburukkan lagi keadaan.
Perkara lain yang perlu diambil ingat adalah senario politik di negara ini tidak sama dengan di AS, Perancis, Itali, Slovakia atau Mongolia. Jurang perbezaannya besar baik daripada segi sistem, demografi dan budaya politik. Di Perancis, apabila perdana menteri meletakkan jawatan, presidennya masih ada dan dalam sistem politik negara itu kuasa presiden lebih meluas berbanding perdana menteri. Ini bermakna tanpa perdana menteri sekalipun sistem masih boleh berjalan lancar.
Saya berpandangan, jika berdepan dengan dua kebarangkalian, adalah lebih baik kita memilih keberangkalian yang tidak memperjudikan nasib rakyat. Ini bermakna lebih bermanfaat jika semua pihak, tanpa mengira baju politiknya, sama-sama mencari jalan memenangi peperangan ini dengan semangat saling membantu. Kita harus punya keberanian untuk mengetepikan kepentingan politik peribadi dan kelompok demi memastikan pandemik ini dapat ditumpaskan.
Setelah menang, negara dan rakyat kembali ke keadaan asalnya, barulah masing-masing berentap di gelanggang. Ia tindakan yang lebih jantan daripada menjadi musang yang mengintai peluang mencuri ayam!
Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan.










