PUTRAJAYA: Selangor dan Kuala Lumpur menunjukkan trend jangkitan yang tinggi berdasarkan pembentangan Kementerian Kesihatan kepada Mesyuarat Jawatakankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai situasi Covid-19 di kedua-dua negeri itu.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Selangor melaporkan purata kes harian Covid-19 antara 1,800 ke 1,900 kes manakala di Kuala Lumpur pula purata kes harian adalah dalam lingkungan 600 ke 1,000 kes.
Menurut beliau, kesemua daerah di dua negeri itu melaporkan insiden kes Covid-19 melebihi 12.1 daripada 100,000 penduduk.
“Data unjuran kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) di kedua-dua negeri ini masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak menunjukkan trend penurunan.
“Situasi ini adalah membimbangkan apabila mengambil kira kepadatan penduduk dan penularan tiga varian baharu yang lebih ganas iaitu varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (UK).
“Sehubungan itu, melalui perbincangan pelbagai agensi serta berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, MKN memutuskan untuk melaksanakan PKPD di mukim-mukim Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula lusa,” katanya hari ini. – UTUSAN ONLINE