“SUDAH masuk tiga bulan gelang dipotong, tapi tak juga sihat. Sesak nafas, jantung laju, susah tidur dan letih melampau. Sampai bila macam ini? Rasa down sangat dah.” Berat luahan seorang sahabat saya, bekas pesakit Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya.
Sungguh dia tidak sangka, fikirnya bila sudah bebas Covid-19 setelah 10 hari di kuarantin dan juga tidak bergejala, dia akan kembali menjalani kehidupan normal. Rupa-rupanya simptom pandemik berkenaan menyerang selepas itu, malah setiap hari sehingga sekarang ada saja sakit lain yang timbul.
Sebenarnya bukan semua daripada lebih 700,000 pesakit Covid-19 di negara ini yang disahkan sembuh selepas dirawat atau melepasi tempoh kuarantin bernasib baik. Ramai yang masih bergelut kesakitan dan berjuang untuk mendapatkan semula kehidupan mereka sebelum ini.
Saya dan sahabat saya itu bersembang dalam grup WhatsApp pada khamis lalu, pada mulanya sebagai pencinta kucing kami berkongsi kesedihan berita kematian kucing kesayangan ramai dalam media sosial, Hamdan Karipuley atau Medan, selepas itu kami berbual bertanya khabar.
Ya, beberapa orang dalam grup sembang kami ini telah dijangkiti Covid-19. Ada yang sudah sembuh cuma ambil masa dua minggu dan ada yang lima bulan masih merawat diri. Sudah banyak kali keluar masuk hospital dalam tempoh berkenaan. Tetapi progress untuk pulih terlalu perlahan.
Hakikatnya, semakin ramai di sekeliling kita telah pun dijangkiti virus ini. Keluarga, kawan-kawan dan jiran. Senang cakap, virus ini sudah tersebar luas dan semakin hari semakin menghampiri kita. Kes harian di negara ini pun seolah-olah susah hendak susut. Ini membuatkan semua orang gelisah, rimas dan tertekan. Yalah, makin kita dikurung, makin naik pula kes. Yang pasti sekarang yang tidak dijangkiti Covid-19 pun stres apatah lagi yang dijangkiti. Betullah, kita semua ini mahu kerja, tak akan hari-hari hendak minta bantuan.
Kembali kepada cerita bekas pesakit Covid ini, ramai yang tidak tahu sengsara yang mereka tanggung berlarutan sehingga berbulan-bulan lamanya. Ini yang dinamakan Long Covid atau Sindrom Post Covid.
“Tangan dan kaki asyik menggeletar. Cuba juga bawa kereta sekeliling rumah. Tapi mengigil macam dapat Parkinson pula,” cerita seorang lagi kawan dalam grup WhatsApp itu. Sudah hampir dua bulan dia habis kuarantin di rumah. Tetapi masih terkial-kial untuk melakukan sesuatu kerja.
Seorang lagi memberitahu, dia sudah jadi terlalu kurus. Tiada selera makan, mood terganggu dan tiada keseimbangan ketika berjalan. Sudahnya, terpaksa kerap mengambil cuti sakit kerana tidak boleh bekerja dalam keadaan itu.
Ya, sebenarnya bekas pesakit Covid-19 masih memerlukan pemantauan dan rawatan. Tetapi kebanyakan mereka terpaksa berjuang sendiri. Sebabnya, tumpuan hospital-hospital kerajaan tentulah lebih kepada yang baru dijangkiti. Hospital ketika ini sudah cukup sendat dengan pesakit Covid-19. Dan dikatakan pula sehingga kini tiada rawatan atau ubat-ubatan khusus untuk merawat Long Covid.
Rawatan yang ada hanya untuk melegakan gejala (symptomatic relief).
Untuk bekas pesakit Covid-19 ini pergi ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan susulan, ada yang tidak mampu. Sekali jumpa bercerita pasal demam atau batuk, sudah kena bayaran dalam RM200. Itu belum lagi membuat pemeriksaan jantung, paru-paru, darah dan lain-lain. Ada yang kata, klinik swasta pula tidak mahu menerima pesakit Post Covid. Mereka diminta ke hospital atau klinik kerajaan.
Kesimpulannya di sini, jangan kena Covid-19. Itu saja. Dan anda tidak akan melalui semua sengsara ini.
Ya, kita semua amat merindui kehidupan sebelum ini. Kita mahu dengar dan baca cerita yang gembira saja. Bukan hal sakit, murung dan kematian. Kita mahu hidup dengan tiada had pergerakan, tidak perlu pakai pelitup muka dan boleh melakukan aktiviti di luar. Bilakah semua ini akan berakhir? Berapa lama lagikah kita akan kembali hidup seperti sedia kala? Putus asa adalah penyakit yang paling sakit.
Penulis ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.