BACHOK: Akta sedia ada berkait bahasa kebangsaan sudah cukup kuat untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu, namun cabaran utama pada masa ini adalah pelaksanaan dan penguatkuasaan oleh agensi yang dimandatkan.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari berkata, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sudah cukup jelas menyatakan bahawa semua urusan rasmi kerajaan mestilah dalam bahasa kebangsaan yang perlu dipatuhi.
“Undang-undang sudah lengkap. Cuma apa yang berlaku sekarang adalah soal pelaksanaan dan pemantauan oleh agensi pelaksan. Terdapat pelbagai peruntukan undang-undang kecil di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan pengiklanan, perdagangan dan penamaan tempat awam yang menetapkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama,” katanya selepas merasmikan Perkampungan Penulis Wilayah Timur di Sudara Beach Resort, di sini hari ini.
Hazami berkata, kelemahan terletak pada penguatkuasaan seperti dalam kes pengiklanan awam yang sepatutnya dipantau oleh PBT, manakala dalam aspek perdagangan pula pengawasan perlu dilakukan oleh pihak berkaitan dalam kementerian terlibat.
“Pekeliling Perkhidmatan yang dikeluarkan pada tahun 2020 jelas menyatakan keperluan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam semua urusan rasmi kerajaan. Namun, sejauh mana ketua agensi melaksanakannya?” katanya.
Beliau berkata, usaha pindaan Akta DBP kini lebih tertumpu kepada aspek perluasan kuasa dalam pengantarabangsaan bahasa dan sastera kebangsaan serta menjadikan DBP sebagai badan tunggal yang mengiktiraf semua kursus berkaitan Bahasa Melayu di negara ini.
“Sama seperti barangan elektrik contohnya, perlu ada tanda SIRIM, maka barangan penerbitan, kursus bahasa dan sastera pun mesti ada pengesahan DBP. Ini sedang kita usahakan,” katanya. – UTUSAN











