BAGAN SERAI: Selepas menolak penyandang kerusi Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Pas Perak menyatakan kesediaan untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Pas akan meletakkan calon yang boleh mendapatkan kepercayaan masyarakat setempat di Bukit Gantang.
Menurutnya, penentuan calon adalah berdasarkan cadangan di bawah jawatankuasa perunding kerusi dan yang menentukan keputusannya ialah peringkat pusat pucuk pimpinan.
“Asas yang Pas ambil untuk meletakkan seseorang calon ialah calon yang boleh mendapat kepercayaan pengundi setempat.
“Kita tidak mahu calon yang hanya bergantung kepada populariti semata-mata tetapi hendaklah berdasarkan suara akar umbi.
“Akar umbi lebih memahami calon mana yang lebih layak untuk dipilih,” katanya kepada pemberita di Kampung Tersusun dan Kampung Lubuk Binjai yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini.
Menurutnya, salah satu jawatankuasa perunding kerusi dalam PN ialah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.
Katanya, Idris sudah tentu mengetahui siapa dan calon yang sesuai dan layak di kawasannya sendiri.
“Dia (Idris) sudah buat kerja kajian di lapangan selepas PRU-14 dan lebih mengetahui respons pengundi di Bukit Gantang.
“Kita tidak mahu calon berdasarkan cadangan pilihan pihak atas tetapi apabila sampai di peringkat akar umbi, mereka (akar umbi) menolaknya.
“Biarlah calon yang pilih nanti disukai dan disenangi di semua peringkat dan hasilnya boleh membawa kemenangan kepada PN,” katanya.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti dalam PN Perak, Razman berkata, perkara itu belum dibincangkan.
“Kita belum membuat sebarang perbincangan atau perundingan mengenainya. Ia hak pusat dan kita cuma bagi maklum balas, yang menentukan adalah pusat, ” katanya.
Sebelum ini, Pas secara terbuka menolak Syed Abu Hussin sebagai calon PN di kerusi Parlimen Bukit Gantang.
Idris berkata, sekiranya Syed Abu Hussin dicalonkan, Pas membawa perkara itu ke peringkat pimpinan parti dalam PN.
Katanya, Syed Abu Hussin yang menang PRU-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) dan kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak layak bertanding di kerusi itu kerana meninggalkan partinya.











