TMJ titah pertingkat vaksinasi di Johor - Utusan Malaysia

TMJ titah pertingkat vaksinasi di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan supaya kerajaan negeri mencari pelbagai jalan untuk meningkatkan kadar vaksinasi penduduk negeri ini bagi memulihkan kembali ekonomi setempat.

Tunku Ismail bertitah, usaha itu termasuk dengan langkah mendapatkan vaksin secara langsung.

“Saya benar-benar memahami tentang rungutan rakyat Johor mengenai kadar vaksinasi di negeri ini yang perlahan. Ia perlu segera dipercepatkan untuk memastikan kita dapat mencapai imuniti kelompok dan membolehkan ekonomi Johor kembali pulih dengan cepat.

“Saya telah diberitahu oleh YB Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan pegawai kementerian bahawa Johor telah menerima 165,000 dos vaksin pada hari ini untuk menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 695,370 dos untuk bulan Julai,” titahnya.

Baginda bertitah demikian dalam satu kenyataan yang dikongsikan dalam laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.

Tambah Tunku Ismail, Johor sepatutnya menerima 1.293 juta dos untuk bulan Julai tetapi terdapat kelewatan dari Pfizer dan Sinovac.

“Bagaimanapun, sebanyak 570,000 dos dijangka akan tiba pada 29 Julai.

“Saya telah dimaklumkan oleh kerajaan negeri bahawa mereka boleh memberi sehingga 60,000 dos vaksin sehari tetapi purata kadar pemberian kini adalah lebih kurang 30,000 sehari pada minggu yang lepas. Sebab utama adalah kerana ketersediaan vaksin.

“(Sehubungan itu) Saya telah menitahkan kepada kerajaan negeri dan agensi-agensi yang terlibat untuk segera mencari kaedah untuk mempertingkatkan lagi kadar vaksinasi termasuk mendapatkan vaksin secara langsung,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya