Tikam jiran: Suspek sama pernah hampir cederakan ibu bapa mangsa - Utusan Malaysia

Tikam jiran: Suspek sama pernah hampir cederakan ibu bapa mangsa

KERATAN laporan Utusan Online mengenai kejadian menimpa abang Farahzila di Taman Permas Jaya, Johor Bahru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Insiden abangnya yang cedera ditikam di bahagian perut oleh jiran mengingatkan Farahzila Sabtu pada detik hitam yang berlaku tiga tahun lalu apabila ibu bapanya hampir dicederakan suspek  sama di rumah mereka di Permas Jaya, di sini.

Farahzila, 42, berkata, lelaki tersebut bertindak memecahkan cermin kereta milik arwah bapa dan memecahkan pintu gelangsar rumah sebelum bertindak hendak menyerang mereka dalam kejadian pada 29 September 2018.

Katanya, dia sendiri tidak pasti mengapa jirannya itu bertindak sedemikian, namun sedikit lega kerana tidak ada insiden tak diingini berlaku terhadap kedua-dua orang tuanya.

Tambahnya, sebelum bertindak memecahkan tingkap rumah serta cermin kereta arwah bapanya itu, lelaki itu mendakwa bapanya membuat bising dengan bertukang pada pukul 1 pagi sedangkan perkara itu tidak berlaku.

“Dalam kejadian itu, mak dan abah terkejut dia bertindak begitu. Dia memecahkan cermin kereta ayah dengan tukul sebelum membaling batu bata ke sliding door.

“Dia bertindak gila apabila mengejar ibu bapa saya keliling rumah sebelum mereka keluar untuk meminta pertolongan. Saya tak dapat bayangkan macam mana ibu saya yang buta kedua-dua belah mata melarikan diri meminta pertolongan.

“Itulah kali terakhir mak dan abah tinggal di situ sebelum saya bawa mereka tinggal bersama saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Isnin lalu, lelaki berusia 40-an itu diberkas polis setelah mencederakan abang Farahzila, Ahmad Nadzir, 50, dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau di bahagian perut.

Kejadian pukul 1.15 petang itu dipercayai berlaku apabila mangsa cuba meleraikan pergaduhan tercetus antara suspek dan jirannya yang tidak berpuas hati dengan jiran kononnya membuat bising ketika sedang memasak juadah Hari Raya Aidiladha.

Ahmad Nadzir yang tinggal di Kuala Lumpur pulang ke Johor Bahru setelah kematian bapanya, pada Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Farahzila memberitahu, penghuni yang menyewa rumah arwah bapanya itu turut menerima nasib yang sama apabila cermin keretanya turut dipecahkan lelaki berkenaan.

“Saya tak tahu apa masalah yang berlaku terhadap lelaki itu sama ada di bawah pengaruh dadah atau tidak. Apa yang pasti saya mahu dia dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya terhadap keluarga saya,” ujarnya.

Katanya, keadaan abangnya yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini semakin stabil namun masih lemah dan hanya boleh makan makanan yang lembut sahaja.

Suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN