PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah (stay of execution) berhubung semakan kehakiman mengenai isu tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang turut bersidang bersama hakim-hakim Datuk Ismail Brahim dan K Muniandy membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Kerajaan Persekutuan selaku perayu diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi manakala Sabah Law Society (SLS) diwakili oleh peguam, Dr. David Fung selaku responden pertama dan Peguam Besar Negeri Sabah diwakili oleh Datuk Brenndon Soh selaku responden kedua.
Pada 17 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
Perkara itu mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Penghakiman berkenaan dibuat ketika mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SLS.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid mengarahkan Kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas tersebut dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan membuat permohonan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah berhubung semakan kehakiman mengenai isu tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah. – UTUSAN










