Tiga sudut pengajaran Aidiladha untuk pemulihan ekonomi negara - Utusan Malaysia

Tiga sudut pengajaran Aidiladha untuk pemulihan ekonomi negara

Ketika ekonomi mengalami krisis, kita harus memberi keutamaan kepada situasi dalam negara. Ia bukan sahaja dapat membantu penternak tempatan yang sudah sedia terkesan, daging korban juga dapat diagihkan dalam negara ketika statistik menunjukkan miskin rentan atau asnaf naik dengan signifikan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FRASA Korban Pandemik mempunyai maksud tersurat dan tersirat yang agak luas. Ia boleh dilihat dari pelbagai sudut. Saya bahagikannya kepada tiga, iaitu: 

 

  • Ibadah korban dan pandemik 
  • Korban dari konteks mereka yang terkesan atau menjadi ‘korban’ kepada pandemik
  • Korban dari konteks, apakah pengorbanan yang dapat kita lakukan di kala pandemik ini?

Korban dan Pandemik

Kita mulakan dengan sudut pertama, ibadah korban dan ekonomi semasa. Seperti yang kita tahu, kedua-duanya berkait rapat. Di kala ekonomi rancak atau berkembang, ibadah korban agak meriah. Banyak haiwan ternakan yang dikorbankan. Begitu juga sebaliknya di kala ekonomi merudum, atau dalam krisis, bilangan haiwan yang dikorbankan akan berkurangan. 

Dengan kemajuan dan juga pembukaan aktiviti ekonomi disebabkan globalisasi, trend atau pola ini sedikit berubah. Semakin ramai yang menyertai korban di negara luar, yang mana jika dibandingkan ia agak murah berbanding dengan korban yang dilakukan dalam negara. 

Walaupun secara dasarnya ia tidak menyalahi syariah atau syarak, namun jika dilihat secara lebih kritikal, ketika ekonomi rancak, limpahan rezeki dan limpahan kemewahan harus dinikmati melangkaui sempadan. Namun, ketika ekonomi mengalami krisis, kita harus memberi keutamaan kepada situasi dalam negara. Ia bukan sahaja dapat membantu penternak tempatan yang sudah sedia terkesan, daging korban juga dapat diagihkan dalam negara ketika statistik menunjukkan miskin rentan atau asnaf naik dengan signifikan.

 

Yang terkorban dan dikorban

Melihat dari konteks kedua, mereka yang ‘terkorban’ atau terkesan akibat pandemik iaitu mereka yang kehilangan atau  pengurangan pendapatan atau usahawan nano dan mikro yang terpaksa gulung tikar. 

Korban ekonomi ini juga akan merasai tekanan sosial akibat hilang kemampuan menjadi ketua keluarga. Kesan sosial yang menyebabkan trauma ini juga akan mengakibatkan mereka tidak mampu membayar sewa rumah atau pembiayaan kenderaan dan sebagainya. Secara ekstrem, ia boleh menyebabkan mereka terlibat dengan aktiviti sosial yang tidak diingini seperti mencuri. 

Namun, apa yang membimbangkan ialah kadar bunuh diri meningkat dengan signifikan. Statistik yang dikeluarkan menunjukkan empat kes bunuh diri sehari di Lembah Klang dan majoritinya berpunca daripada masalah ekonomi.

Jika itu menggambarkan korban ekonomi dan sosial, rakyat juga terpalit menjadi korban politik. Dengan ketidakstabilan dan percakaran politik yang menyebabkan masalah dalam jaringan penyampaian bantuan kerajaan, perancangan agak terganggu dan impak sosioekonomi tidak dapat dicapai.

 

Apa korban kita tahun ini?

Melihat kepada sudut ketiga, apakah pengorbanan yang dapat kita lakukan? 

Pertama dan utama sekali, harus mendaftar dan mengambil vaksin agar kita dapat mencapai imuniti kelompok secara tuntas. Kedua, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak melakukan perjalanan yang tidak perlu. Ketiga, kita harus bersedia menghulurkan bantuan kepada sanak saudara, jiran tetangga dan komuniti, khususnya mereka yang terkesan. Kerajaan melakukan apa yang termampu oleh mereka dalam bentuk pelbagai pakej rangsangan: Penjana, Pemerkasa, Pemulih dan sebagainya. Kita berkorban mengikut kemampuan kita pula.

 

IQRA

Kesimpulan, baik dari segi kerajaan mahupun kita sebagai rakyat, saya ingin mencadangkan kita mengikuti konsep IQRA.

Integriti (integrity) dan ketelusan dalam setiap tugas kita. Kualiti (quality): memastikan kualiti yang terbaik dalam pelaksanaan. Timbal balik (reciprocity): membalas jasa baik atau bantuan kerajaan mahupun persendiriaan dengan mengikut segala arahan atau saranan. Terakhir,  akauntabiliti (accountability): kita bertanggungjawab atas segala tidak tanduk dan tingkah laku kita. Insya Allah, kita dapat keluar dari kesulitan ini.

 

Penulis ialah Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN