LUMUT: Jabatan Perikanan Perak merampas tiga bot nelayan tempatan bernilai RM2.1 juta selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk menambah struktur tangki simpanan minyak di perairan Bagan Datuk, dekat sini hari ini.
Rampasan itu dilakukan sepasukan anggota bot ronda Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Perak ketika melakukan pemantauan vesel di perairan Rungkup, Bagan Datuk, kira-kira pukul 9 pagi.
Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe, yang mengetuai operasi itu, berkata ketiga-tiga bot nelayan itu dikesan melanggar syarat lesen di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
“Pemeriksaan mendapati terdapat lapan warga Myanmar berusia antara 37 hingga 45 tahun bekerja dengan dua bot masing-masing menggunakan tiga pekerja dan sebuah bot ada dua pekerja, tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan.
“Ketiga-tiga bot yang dikesan pada kedudukan antara 5.11 hingga 7.2 batu nautika itu melakukan kesalahan kerana menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari pantai atau pulau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mansor, ketiga-tiga bot turut melakukan kesalahan menggunakan saiz mata pukat kurang 38 milimeter.
Beliau berkata, sebuah daripada bot itu didapati memiliki struktur tetap simpanan bahan api di bahagian depan rumah kemudi vesel tersebut.
“Struktur tetap simpanan bahan api atas dek rumah kemudi bermaksud binaan tambahan untuk bahan api dan ini tidak dibenarkan kerana boleh berlaku penjualan bahan api bersubsidi.
“Pemilik membina tangki tambahan untuk simpan bahan api bagi tujuan yang diragui,” jelasnya lagi.
Mansor berkata, kesemua bot tersebut bersama pelbagai jenis ikan 300 kilogram dibawa ke Jeti Jabatan Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan dan tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE