TPETALING JAYA: Hanya tiga barang dibenarkan untuk dihantar kepada pesakit yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Serdang (Maeps).
Timbalan Pengarah PKRC Dua, Kolonel Dr. Aeriza Mohd Yusak berkata, tiga barang tersebut adalah susu kanak-kanak, lampin dan ubat-ubatan.
Bagaimanapun pihaknya memberi kelonggaran kepada pesakit yang bukan dari rumah dan tidak membawa apa-apa barangan sebelum dikuarantin.
“Kalau pesakit datang sehelai sepinggang kita benarkan bagasi masuk ke anjung tiba di Maeps dan hantar kepada pesakit dengan diperiksa oleh kakitangan.
“Kami akan suruh waris buka dan semua barang akan diperiksa satu persatu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Dalam pada itu Dr. Aeriza berkata, pihaknya telah membuat hebahan berkenaan tatacara penghantaran barang di laman sesawang pkrcmaeps.gov.my.
“Barang yang nak dibawa akan masuk ke pintu Maeps dan di situ akan ada kod QR serta maklumat tentang pesakit.
“Waktu penerimaan barang adalah pada pukul 8 pagi sehingga 3 petang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










