Tidak adil terus salahkan kerajaan - Utusan Malaysia

Tidak adil terus salahkan kerajaan

HISHAMUDDIN HASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) menjelaskan, tidak adil terus menyalahkan kerajaan terhadap usaha memerangi pemerdagangan manusia sedangkan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP 3.0) masih baru dilancarkan, sekali gus memerlukan sokongan semua pihak.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hassim berkata, sikap menyalahkan kerajaan semata-mata dengan tanpa semua pihak menggembleng usaha dan tenaga menangani isu berkenaan, masalah itu sampai bila tidak dapat diselesaikan.

“Sebagaimana semua maklum, pemerdagangan manusia bukan sahaja berlaku kepada negara sedang membangun seperti Malaysia malah terjadi sama di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS). Selain itu, rakyat Malaysia sering menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang di negara maju.

“Adalah tidak adil menyalahkan kerajaan di dalam mana usaha yang dilancarkan masih baharu dan memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan wawasan tersebut. Kami di MHO berbesar hati ingin menyatakan sokongan dan kesediaan dalam menjayakan hasrat ini sekali gus menaikkan nama Malaysia di mata antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Negara Amerika Syarikat sebelum ini menurunkan kedudukan Malaysia ke Tahap Tiga, tahap paling rendah dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 yang menyenaraikan negara berdasarkan tahap pematuhan standard minimum bagi memerangi jenayah pemerdagangan manusia.

Dalam pada itu, Hishamuddin memberitahu, pihaknya tidak mahu menyentuh secara langsung mengenai ketelusan dan bagaimana cara kajian tersebut dibuat tetapi ingin menyatakan sokongan yang jelas terhadap usaha Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri dengan pelancaran Pelan NAPTIP 3.0

“MHO sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu-isu kemanusiaan yang berteraskan Perlembagaan Malaysia terpanggil dengan isu penarafan Malaysia ke Tahap 3 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2021.

“Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa MHO akan menggerakkan semua kekuatan sukarelawan MHO yang ada di seluruh negara dan mengajak masyarakat sivil bersama kami menjayakan hasrat dan visi NAPTIP 3.0. 

“MHO juga bersedia bersama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri dan kementerian mahupun agensi berkaitan dalam menjayakan isu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN