SEGAMAT: Kewujudan bank makanan hasil inisiatif pelbagai pihak di serata tempat sejak pandemik Covid-19 melanda negara banyak membantu rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bagi pasangan suami isteri, Kamarul Hisam Sabran, 39, dan Zalinda Yusoff, 38, mereka turut terpanggil untuk melakukan usaha yang sama di daerah ini bagi membantu golongan yang memerlukan walaupun pendapatan mereka sendiri terjejas akibat pandemik itu.
Malah, bagi melaksanakan niat murni itu, kedua-dua mereka juga sanggup ‘mengusik’ wang simpanan sendiri yang digunakan untuk membeli barangan-barangan keperluan bagi food bank itu seperti beras, minyak masak, barangan mandian, susu dan lampin pakai buang.
“Suami saya hilang pendapatan tetap sebagai penghantar kenderaan di syarikat penjual kereta sejak Covid-19 melanda.
“Tetapi apabila kami tengok ramai lagi orang yang susah berbanding kami yang nak makan pun tidak ada duit, saya dan suami tekad sediakan satu food bank untuk mereka ambil apa yang perlu,” kata Zalinda ketika ditemui Utusan Malaysia di Jalan Genuang, semalam.
Bagi menampung pendapatan, kedua-dua pasangan suami isteri itu kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan vendor runcit sebagai mata pencarian utama.
Sementara itu, ujar Kamarul Hisam, jumlah penduduk di bandar ini yang mendapatkan bantuan makanan asas menerusi food bank di lokasi premis perniagaan mereka semakin meningkat sejak lapan hari dilaksanakan.
“Perkara yang paling menya-yat hati dan amat menginsafkan adalah bukan semua barangan keperluan harian itu diambil oleh orang ramai, ini kerana walaupun diberikan set lengkap pada setiap bungkusan, mereka akan memeriksa kandungan dahulu dan hanya mengambil barangan yang tiada di rumah.
“Ada yang tidak ambil beras dan minyak masak kerana mereka masih ada barangan itu di rumah sedangkan kalau nak diikutkan harga barangan yang bernilai tinggi itu patut diambil sahaja,” katanya.
Tambah Kamarul Hisam, pernah berlaku satu peristiwa apabila seorang asnaf berpatah balik ke premis mereka untuk memulangkan barangan setelah mengetahui ahli keluarga lain telah menerima sumbangan dari pihak yang lain.
Justeru, dia bersama isteri amat terharu dengan sifat kejujuran dan ambil peduli oleh segelintir asnaf yang tidak mengambil barangan berlebihan agar tidak membazir atau berlaku lambakan di rumah masing-masing.
Sementra itu, lokasi food bank Kamarul Hisam dan Zalinda yang berada di pusat bandar Segamat itu turut memudahkan asnaf untuk datang mengambil pek barangan keperluan bermula dari pukul 11 pagi.
Agihan turut dilakukan secara pandu lalu bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat. – UTUSAN










