Terima suapan lebih RM1 juta, tiga termasuk dua Pegawai Daerah ditahan SPRM - Utusan Malaysia

Terima suapan lebih RM1 juta, tiga termasuk dua Pegawai Daerah ditahan SPRM

DUA bekas YDP Majlis Perbandaran di Selangor ditahan SPRM kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek perumahan di Mahkamah Majistret, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua orang bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran di Selangor kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Menurut sumber, kedua-dua YDP tersebut yang kini memegang jawatan Pegawai Daerah (DO) berusia 47 tahun itu ditahan di Ibu pejabat SPRM ketika hadir memberikan keterangan lewat malam tadi.

Katanya, seorang kontraktor yang terlibat juga turut ditahan bagi membantu siasatan kerana merasuah kedua-dua suspek bagi membolot projek-projek yang ditawarkan di dua majlis perbandaran yang diketuai kedua-dua YDP tersebut.

“Kontraktor terbabit berusia 42 tahun dipercayai mengawal 16 syarikat yang didaftarkan atas nama saudara dan pekerja-pekerja beliau bagi mendapatkan projek-projek di dua Majlis Perbandaran tersebut.

“Dianggarkan projek-projek yang dimonopoli mencecah jutaan ringgit sejak tahun 2018 hingga tahun ini,” katanya hari ini.

Sumber menjelaskan, bagi setiap projek yang diperoleh, kedua-dua bekas YDP tersebut menerima habuan rasuah sebanyak 5 peratus dari nilai projek.

Selain itu, sumber memberitahu, pelbagai bentuk suapan rasuah diberikan kepada kedua-dua suspek termasuk sebuah rumah bernilai RM1 juta, wang tunai berjumlah RM500,000 dan pakej pelancongan ke Eropah bagi meluluskan kebenaran merancang dan pembangunan milik sebuah syarikat pemaju perumahan.

“Beberapa siri serbuan telah dibuat di sekitar Selangor sejak awal pagi semalam.

“Siasatan dijalankan di bawah seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, ketiga-tiga yang ditahan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan permohonan remah diluluskan Majistret, Shah Wira Abdul Halim pagi ini di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah sebanyak enam hari bermula hari ini hingga 28 Julai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya