Tempahan haiwan korban tetap laris walaupun protokol ketat  - Utusan Malaysia

Tempahan haiwan korban tetap laris walaupun protokol ketat 

MOHAMAD Rezuwan Mazlan bersedia untuk menyerahkan ternakan kambingnya yang ditempah untuk ibadat korban di kandang miliknya di Relau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Penternak dan pembekal lembu dan kambing di negeri ini masih mampu menarik nafas lega selepas haiwan ternakan mereka tetap mendapat tempahan tinggi untuk ibadah korban meskipun negara masih dihantui pandemik Covid-19.

Rata-rata yang ditemui Utusan Malaysia di sini, melahirkan rasa syukur kerana ibadah korban tetap dibenarkan di negeri ini sekali gus tidak menjejaskan permintaan terhadap haiwan ternakan mereka.

Seorang penternak lembu dan kambing, Mohammad Rezuwan Mazlan, 39, berkata, sebanyak 150 ekor lembu dan 600 ekor kambing telah dijual kepada pelanggan termasuk peniaga menjelang perayaan Aidiladha.

Menurutnya, biarpun berlaku pengurangan separuh daripada tempahan lembu tempatan tahun ini, namun dia tetap berpuas hati apabila haiwan ternakannya itu masih mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.

“Tahun lalu, sebanyak 300 ekor lembu telah dijual bagi pelaksanaan ibadah korban dan perayaan Aidiladha tetapi kali ini hanya sebanyak 150 ekor  terjual.

“Bagaimanapun, permintaan terhadap kambing jenis boer, biri dan jamnapari meningkat kali kini dengan jumlah jualan sebanyak 600 ekor.

“Saya percaya, prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan yang ketat  membataskan pelaksanaan program ibadah korban anjuran di kebanyakkan masjid dan surau di negeri ini tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, Setiausaha Masjid Maqbul di Teluk Kumbar, Mohd. Idris Ali pula memberitahu, pihaknya tetap melaksanakan program ibadah korban tahun ini biarpun dalam suasana pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebanyak 10 ekor lembu akan ditumbangkan selama dua hari program itu dilaksanakan iaitu pada Rabu dan Khamis ini.

“Kami tetap meneruskan ibadah korban biarpun dalam suasana pandemik Covid-19. Kali ini, sebanyak 10 ekor lembu akan dikorbankan berbanding tahun lalu sebanyak lapan ekor.

“Kami sedia mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk had jumlah petugas, penjarakan fizikal, mengambul suhu dan daftar diri menerusi MySejahtera,” ujarnya.

Dalam pada itu, berlainan pula di Masjid Al-Huda di Sungai Ara apabila Pengerusi Kariahnya, Zainudin Haniff memberitahu, pihaknya terpaksa menangguhkan program korban Aidiladha buat tahun kedua berturut-turut berikutan SOP penyembelihan yang ketat. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN