Suntik vaksin di pusat beli-belah - Utusan Malaysia

Suntik vaksin di pusat beli-belah

ORANG ramai beratur untuk menerima vaksin di PPV Mega Integrasi South Key Midvalley. Di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerinduan orang ramai untuk ke pusat beli-belah mungkin sedikit ‘terubat’ apabila Pusat Pemberian Vaksin (PPV) South Key Midvalley yang mula beroperasi hari ini menjadi PPV Integrasi Mega pertama di pusat beli-belah.

Beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 9 malam, PPV tersebut yang terletak di bandar raya ini mampu memberi suntikan sehingga 5,000 dos sehari sekali gus membantu Johor mencapai sasaran 80 peratus rakyat yang mendaftar menerima suntikan vaksin.

PPV Integrasi Mega South Key Midvalley itu adalah hasil kerjasama pihak kerajaan dan swasta menerusi Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Healthcare Berhad.

Seramai 283 kakitangan perubatan dan sokongan daripada tujuh hospital pakar KPJ iaitu Hospital Pakar KPJ Johor; Hospital Pakar KPJ Puteri; Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang; Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn; Hospital Pakar KPJ Kluang; Hospital Pakar KPJ Batu Pahat dan Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani melaksanakan proses pemberian vaksin di PPV berkenaan.

Turut membantu melancarkan proses pemberian vaksin di situ adalah sukarelawan daripada Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac).

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pembukaan PPV Integrasi Mega itu penting bagi membantu Johor mencapai sasaran 80 peratus rakyat yang mendaftar menerima suntikan vaksin.

“Kita di Johor sudah bersiap sedia dengan kapasiti pemberian suntikan vaksin antara 50,000 hingga 60,000 dos sehari.

“Diharapkan dapat membantu rakyat diberi vaksin seberapa segera supaya rancangan kita menjelang Oktober nanti, berjaya suntik 80 peratus daripada 2.5 juta rakyat Johor yang kita sasarkan bagi membentuk imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasni turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan PPV berkenaan.

“Saya rasa seluruh negara berbangga dengan pengorbanan masa dan tenaga sukarelawan daripada pelbagai pihak untuk membantu negeri dan negara kita bagi menjayakan program vaksinasi ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di PPV berkenaan mendapati, orang ramai yang mendapat janji temu di situ mula hadir untuk mendapatkan vaksin masing-masing sejak pagi di dewan konvensyen yang terletak di tingkat tiga kompleks tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya