SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Ketua Perwakilan Malaysia baharu terdiri daripada empat Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi di Istana Bukit Kayangan di sini, baru-baru ini.
Istana Bukit Kayangan di sini dalam satu kenyataan memberitahu, antara mereka yang diterima menghadap ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Raja Reza Shah Raja Zaib.
Raja Reza merupakan anak kelahiran Selangor yang sebelum ini memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke Ukraine.
Turut menghadap, Duta Besar Malaysia ke Belgium, Datuk Ahmad Rozian Abd. Ghani yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia di Kementerian Luar.
Menurut kenyataan itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Roslan Abdul Rahman yang pernah berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke Azerbaijan dan Cuba turut hadir menghadap baginda.
“Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, Anizan @ Siti Hajjar Adnin yang sebelum ini menjawat jawatan Penolong Setiausaha (Asia Tenggara) di Kementerian Luar.
“Pada pertemuan ini, Sultan Sharafuddin diberi taklimat ringkas mengenai isu berkaitan hubungan antarabangsa antara Malaysia dan negara-negara terlibat,” katanya.
Turut berangkat pada pertemuan itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. – UTUSAN