LONDON: Keinginan Real Madrid untuk mendapatkan khidmat bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe nampaknya sukar.
Pun begitu, Real sudah punya nama besar lain yang akan diburu mereka andainya Mbappe gagal dibeli.
Nama itu adalah penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah.
Setakat ini Mbappe belum menandatangani kontrak baharu PSG.
Kontrak Mbappe bersama PSG kini telah memasuki 12 bulan terakhir.
Jika tidak segera ditandatangani kontrak baru, maka Mbappe bakal berstatus bebas transfer pada musim panas 2022.
Pihak PSG telah berusaha untuk mendapatkan tanda tangan Mbappe untuk diikat dengan kontrak baharu.
Namun, penyerang Perancis itu setakat ini memilih menghabiskan sisa kontraknya hingga tahun depan.
Situasi tersebut membuka peluang untuk Real Madrid menyambar Mbappe ke Santiago Bernabeu pada perpindahan musim panas 2021.
Akan tetapi, Real Madrid tidak mendapat jalan mudah untuk melunaskan cita-cita mereka itu.
PSG telah menegaskan tidak akan melepas Mbappe pada musim panas tahun ini.
Andai kata dijual, PSG telah meletakkan harga minimum 150 juta euro, yang mana ia adalah syarat yang tidak mudah untuk Real dalam keadaan ekonomi yang meruncing sekarang.
Pada masa sama keberadaan Eden Hazard dan Gareth Bale masih menjadi teka-teki dalam perancangan jurulatih Carlo Ancelotti dalam menghadapi musim 2021-2022.
Satu-satunya penyerang yang pasti kekal di Real ialah Karim Benzema, tetapi jika dia sendirian tenaganya tidak cukup untuk mengharungi saingan di Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara.
Menyedari jalan sukar untuk mendapatkan Mbappe, Real Madrid dikatakan mencuba alternatif dengan membidik penyerang sayap milik Liverpool, Mohamed Salah.
Ancelotti melihat Mohamed Salah sebagai pemain alternatif yang boleh dibeli Real pada perpindahan musim panas tahun ini. – AGENSI