Suami isteri wujud ‘Lemarikasih’ bantu 700 keluarga terkesan

Suami isteri wujud ‘Lemarikasih’ bantu 700 keluarga terkesan

PESARA kerajaan, Mohd. As’ari Tibek (kanan) dan Faredah Mashhor bersama barangan keperluan harian yang disediakan Lemarikasih di rumah mereka di Jalan Dato Ali, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Usaha pasangan sua­mi isteri serta ahli keluarga mereka yang mewujudkan ‘Le­marikasih’ telah dapat membantu kira-kira 700 keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19 sejak sebulan yang lalu.

Ternyata usaha yang dilakukan Mohd. As’ari Tibek, 72, yang juga bekas Ketua Penolong Pe­ngarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Johor serta isteri, Faredah Mashhor, 64, bekas pengetua itu telah membantu banyak pihak.

Menurut Faredah, idea tersebut bermula pada 26 Jun lalu apabila pelbagai pihak mewujudkan ‘Gerobok Rezeki’ untuk membantu orang ramai, selain cadangan serupa daripada ahli keluarga mereka supaya turut sama menggerakkan medium seperti itu.

Katanya, dengan menggunakan media sosial Facebook, ‘Lemarikasih’ bukan sahaja berjaya membantu golongan yang memerlukan tetapi juga menarik minat penyumbang dalam kalangan rakan-rakan, para guru dan bekas anak muridnya.

“Apabila Lemarikasih dibuka, kami menerima kehadiran kira-kira 100 orang yang mengambil pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, minyak ma­sak, tepung, gula, bihun, te­lur dan sebagainya.

“Kami tidak menduga Lema­rikasih menerima sambutan luar biasa bukan sahaja dari sekitar bandar Pontian tetapi juga Pekan Nanas, Ayer Baloi, Sanglang dan Benut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dirumahnya di Jalan Dato’ Ali, semalam.

Tambah Faredah yang merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perhentian, ada dalam kalangan penerima sumbangan me­nyatakan tiada apa yang hendak dimasak selain tiada wang untuk membeli keperluan.

“Meruntun jiwa saya dan anak-anak yang mendengarnya, barangan Lemarikasih sudah berkurangan, jadi saya keluarkan barangan yang ada di dapur dan meminta anak saya menghantarnya segera,” ujarnya.

Katanya, selain barangan ke­perluan harian, ada juga pe­nyumbang yang menghantar pakaian baharu daripada butik di Johor Bahru untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan kelak.

Menurutnya, seorang bekas pelajar di SMK Sri Perhentian yang kini bergelar Datuk turut memberikan sumbangan beras serta lain-lain keperluan ketika turun ke Johor atas urusan perniagaan.

Sementara itu, Mohd As’ari berkata, dia bersama isterinya cuba sedaya upaya untuk memenuhi keperluan mereka yang datang bukan sahaja pada waktu siang tetapi juga pada waktu malam hari.

Katanya, mereka yang datang mengambil barangan di Lemarikasih melibatkan pelbagai ka­um, sama ada datang sendiri mahupun bersama rakan-rakan dengan menggunakan basikal dan motosikal.

“Kami menganggarkan nilai sumbangan yang diterima kira-kira RM25,000 dalam bentuk barangan keperluan harian se­panjang sebulan Lemarikasih menyantuni golongan terkesan ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai kewangan sendiri yang turut dikeluarkan, dia dan isteri menganggap sebagai sedekah jariah bagi memastikan mereka yang datang tidak pulang dengan tangan kosong jika Lemarikasih tiada bekalan lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN