GEORGETOWN: Polis menumpaskan sindiket pinjaman online tidak wujud yang mempunyai rangkaian hampir di seluruh negara menerusi dua serbuan di Batu Ferringhi di sini, 15 Julai lalu.
Dalam serbuan berasingan kira-kira pukul 1 pagi di dua buah kediaman di Jalan Sungai Emas dan Solok Sungai Emas itu, polis menahan 18 individu berusia 16 hingga 23 tahun dipercayai ahli sindiket berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Mohd. Rosni Mohd. Lazim berkata, menerusi serbuan pertama di Jalan Sungai Emas, polis menahan 12 individu termasuk dua wanita serta seorang remaja berusia 16 tahun.
Jelasnya, suspek menyewa kediaman itu menerusi ejen dengan bayaran RM3,500 sebulan dan didapati kerap berpindah untuk mengelakkan kegiatan mereka terbongkar.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 34 buah telefon bimbit, dua buah komputer riba dan 14 keping kad ATM pelbagai bank yang dipercayai berkaitan dengan kes ini,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain di sini hari ini.
Menurut Mohd. Rosni, pada hari sama berdasarkan soal siasat ke atas suspek, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Solok Sungai Emas dan menahan lima lelaki dan seorang wanita dipercayai ahli sindiket tersebut.
Dalam serbuan itu jelasnya, polis merampas 10 buah telefon bimbit; sebuah komputer riba dan 11 keping kad ATM pelbagai bank.
“Siasatan mendapati nombor telefon bimbit yang digunakan oleh mereka terlibat dalam 21 kes yang dilaporkan di 12 buah negeri lain seperti di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan banyak lagi.
“Hanya di Melaka dan Perlis sindiket ini tidak mempunyai kes,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dan mengaut keuntungan antara RM500,000 hingga RM300,000 sebulan hasil kegiatan penipuan pinjaman.
Jelasnya, sindiket itu menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk menawarkan pinjaman tidak wujud kepada mangsa.
“Mangsa akan dihubungi serta diminta mengisi jumlah pinjaman yang dipohon menerusi pautan diberikan, selepas itu mangsa akan dihubungi ahli sindiket untuk membuat pelbagai bayaran proses sebelum pinjaman diluluskan.
“Ahli sindiket akan memberikan pelbagai alasan untuk meyakinkan mangsa membuat bayaran proses dan setelah mangsa membuat bayaran, sindiket akan menyekat panggilan mangsa,” katanya.
Tambahnya, kesemua ahli sindiket dibayar gaji antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan dan salah seorang daripada tangkapan bertindak sebagai penyelia kepada kumpulan sindiket itu di Pulau Pinang.
“Sindiket ini dipercayai mempunyai rangkaian hampir di seluruh negara dan pihak polis sedang mengesan ahli yang lain.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Peraturan 5(1) Peraturan-peraturan Pencegahab dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya.










