PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan mencadangkan tempoh persidangan Dewan Rakyat dipendekkan dan jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan berikutan situasi semasa Covid-19 dalam negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu telah dicadangkan semasa Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak Covid-19 pada Isnin lalu.
Menurut berkata, sebanyak 56 kes positif Covid-19 dikesan dalam saringan bermula dari 21 hingga 25 Julai lalu membabitkan 2,093 individu yang menghadiri dan terlibat dalam persidangan itu.
“Kes positif melibatkan dua Ahli Parlimen, enam pegawai pengiring, 48 pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan. Ia menjadikan kadar positif adalah 2.7 peratus.
“Dari 56 kes yang positif ini, 39 daripada adalah mereka yang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, individu disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen dan mereka diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif tersebut sebelum bermulanya Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.
Beliau menjelaskan, pihaknya mengesan empat kontak rapat yang turut disahkan positif, namun tidak hadir sejak hari pertama persidangan berlangsung selain sedang dalam tindakan susulan oleh pihak kesihatan.
“Berdasarkan penilaian risiko dijalankan oleh pasukan kesihatan yang ditempatkan di Parlimen, tiada penularan jangkitan Covid-19 dikesan setakat ini.
“Namun, pemantauan dan penilaian risiko akan diteruskan sehingga Sidang Mesyuarat Parlimen ini tamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE