Siapa tebang balak di hutan simpan kekal Batu Talam, Raub? - Utusan Malaysia

Siapa tebang balak di hutan simpan kekal Batu Talam, Raub?

DURIAN musang king yang ditanam di Hutan Simpan Kekal Batu Talam selesai ditebang dalam masa sembilan hari Operasi Pamah di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Kira-kira 15,000 pokok sudah ditebang namun isu penguatkuasaan memusnahkan kebun haram durian musang king dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di sini, belum reda dengan persoalan demi persoalan ditimbulkan.

Belum pun terjawab persoalan berhubung jumlah pendapatan pekebun sepanjang 10 hingga 20 tahun menjalankan aktiviti tersebut, kini timbul pula tanda tanya siapa yang menebang balak di kawasan itu sebelum pokok durian musang king ditanam.

Ini kerana wujud dakwaan aktiviti menanam pokok durian Musang King di hutan simpan itu hanya dilakukan pekebun terlibat setelah penebangan kayu balak dilakukan di kawasan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui berkata, pekebun terlibat hanya melakukan penanaman selepas kawasan itu ditebang oleh pihak tertentu.

“Pekebun tidak pernah tebang pokok untuk tanam durian, tetapi ada pihak lain yang melakukan aktiviti penebangan balak dan membiarkan kawasan berkenaan tanpa penanaman semula hutan.

“Jadi, pekebun hanya menukarkan tanah yang ada kepada tanaman durian,” katanya di sini hari ini.

Kira-kira 15,000 pokok durian musang king yang ditanam di kawasan seluas 101 hektar di HSK Batu Talam dimusnahkan dalam masa sembilan hari Operasi Pamah sejak 3 Julai lalu.

Yu Hui berkata, tindakan menebang pokok durian itu menyebabkan pekebun yang telah lama mengusahakan kawasan itu kerugian besar memandangkan kos menanam dan menjaga durian adalah tinggi.

Sementara itu Presiden Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang berkata, tindakan memusnahkan kebun durian Musang King di kawasan HSK Batu Talam menyebabkan pekebun durian terbeban selepas hilang mata pencarian.

“Di mata pihak Jabatan Perhutanan Pahang, 15,000 pokok durian hanyalah angka.

“Namun pokok-pokok ini adalah satu-satunya sumber mata pencarian bagi para pekebun yang merupakan satu-satunya harapan mereka untuk terus hidup menhadapi wabak ini,” katanya.

Dalam pada itu  Wilson berkata, Samka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri dengan memfailkan permohonan menghina mahkamah.

“Pokok-pokok durian berkenaan terletak di kawasan yang dipertikaikan dan keputusan penangguhan oleh mahkamah juga merangkumi pokok-pokok yang berada di dalam hutan simpan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya