'Semua kita sampaikan bantuan, tak payah naik bendera putih ke hitam' - PM - Utusan Malaysia

‘Semua kita sampaikan bantuan, tak payah naik bendera putih ke hitam’ – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memastikan semua kumpulan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 diberikan bantuan tidak hanya terhad kepada golongan B40, malah diperluaskan kepada M40 dan T20.

Memberikan jaminan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempunyai data lengkap termasuk membuat pengagihan bantuan terutama menerusi program Bakul Prihatin Negara dapat dilaksanakan secara adil dan saksama.

Beliau berkata, secara keseluruhannya sebanyak RM21 juta diperuntukkan untuk Bakul Prihatin Negara dengan kerjasama syarikat korporat dengan agihan 420,000 bakul yang memanfaatkan sejumlah 1.68 juta penerima.

“Mengambil kiraaan itu, saya kira sebahagian besar daripada kumpulan sasar yang ada dalam kumpulan B40, M40, sekarang kita tidak kira kadang-kadang yang T20 pun ada terkesan kerana tidak boleh nak meniaga, berhenti kerja dan macam-macam lain, semua ini kita sampaikan bantuan.

“Jadi tak payah naik bendera putih ke hitam, nak naik bendera biru tak apa (seloroh). Maksud saya tadi kita tahu di mana (mereka) dan kementerian ada rekod dan saya dimaklumkan penerima yang akan menerima akan dicatat bahawa dia sudah terima.

“Rasa saya kalau turun ke banyak tempat rumah tengok di dapur dia sudah penuh dah. Tapi saya tak kata begitu bahawa semua dapat begitu. Jadi kita nak kata sistem untuk mendaftar supaya pengagihan itu dibuat secara lebih adil dan saksama. Jangan satu orang dapat 10 kotak yang lain tak dapat kotak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Kompleks KPWKM di Putrajaya.

Dalam tinjauan itu, Perdana Menteri menerima sumbangan RM16 juta daripada lima syarikat korporat menjayakan program Bakul Prihatin Negara untuk disalurkan menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah KPWKM.

Beliau pada masa sama berterima kasih kepada banyak badan-badan politik, sama ada daripada Perikatan Nasional (PN), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana persatuan atau individu yang turut memberikan bantuan sekali gus menjadi contoh baik dalam kalangan rakyat Malaysia yang sedar di zaman susah kita sama-sama susah.

Bakul Prihatin Negara adalah hasil cetusan idea Perdana Menteri sendiri sebagai tindak balas proaktif terhadap senario yang dihadapi rakyat pada masa ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan KPWKM, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Bakul Prihatin Negara yang merupakan nilai tambah kepada Program Bantuan Bakul Makanan di bawah pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 Mac 2020, kerajaan melalui KPWKM mengagihkan sejumlah 1.4 juta bakul makanan yang memberi manfaat kepada 5.6 juta isi rumah yang terjejas akibat pandemik.

Di bawah pakej PEMULIH, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk setiap ahli Parlimen tanpa mengira parti politik melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM66.6 juta dengan penyediaan kira-kira 666,000 bakul makanan untuk manfaat kepada anggaran 2.66 juta rakyat di seluruh negara.

Inisiatif terbaharu, Bakul Prihatin Negara merupakan kerjasama strategik berkonsepkan Whole of Society melibatkan kerajaan dan syarikat korporat dengan pelaksanaan penyampaian bantuan oleh Sukarelawan Skuad Prihatin Negara di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan Bakul Prihatin Negara boleh menghubungi Bilik Gerakan JKM yang terdapat di 108 daerah di seluruh negara, Talian Kasih di 15999 atau Whatsapp ke 019-2615999.

Mereka juga boleh mengemukakan permohonan bantuan melalui Media Sosial Rasmi (Facebook/Twitter/Instagram KPWKM dan JKM) atau menghubungi pemimpin tempatan di kawasan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.