Sembunyi wang RM270,000: Dua lelaki, seorang wanita dipenjara - Utusan Malaysia

Sembunyi wang RM270,000: Dua lelaki, seorang wanita dipenjara

DUA lelaki dan seorang wanita yang dituduh atas kesalahan menolong menyembunyikan wang berjumlah RM270,000 milik seorang juruteknik di bawa keluar oleh anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Seremban. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua lelaki dan seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menolong menyembunyikan wang berjumlah RM270,000 milik seorang juruteknik minggu lalu.

Ketiga-tiga mereka, Muhammad Anas Mohd. Amir Nasharuddin, 21; Muhammad Syafirul Haidezeman, 31; dan Zulaikha Roslan, 22, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Norzaliza Tesmin.

Muhammad Anas dihadapkan berdepan empat pertuduhan dengan curang menolong menyembunyikan wang berjumlah RM130,000 yang dimasukkan oleh penama, Mohammad Roslan Abd. Manap, 57, ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas namanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada 7, 8, dan 9 Julai lalu di Maybank Bandar Nilai, Nilai.

Muhammad Syafirul pula didakwa atas tiga pertuduhan dengan curang menolong menyembunyikan wang berjumlah RM80,000 yang dimasukkan oleh penama yang sama ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas namanya.

Kesalahan itu dilakukannya di bank yang sama pada 7 dan 8 Julai lalu.

Pada tarikh dan lokasi yang sama juga, Zulaikha dituduh melakukan dua kesalahan dengan curang menolong menyembunyikan wang berjumlah RM60,000 yang dimasukkan oleh Mohammad Roslan ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas namanya.

Kesemua tertuduh yang beralamat di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Nur Amirah Syed Ahmad Yunus.

Mahkamah kemudian mengenakan denda sebanyak RM34,000 kepada Muhammad Anas bagi kesemua pertuduhan atau dipenjara di antara 10 hingga 12 bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayarnya.

Muhammad Syafirul pula dijatuhi hukuman denda sebanyak RM24,000 bagi kesemua pertuduhan atau penjara di antara 10 hingga 12 bulan manakala Zulaikha dikenakan denda sebanyak RM16,000 atau penjara 10 bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayarnya.

Kesemua tertuduh bagaimanapun diperintah menjalani hukuman penjara kerana gagal membayar denda berkenaan.

Muhammad Annas dan Muhammad Syafirul dihukum penjara di antara 10 hingga 12 bulan bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara berasingan bermula hari ini.

Zulaikha pula dipenjara selama 20 bulan bagi dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Dia akan menjalani hukuman tersebut di Penjara Sungai Udang, Melaka bermula hari ini.

Utusan Online pada 13 Julai lalu melaporkan empat individu termasuk seorang wanita diberkas anggota Polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dalam tiga serbuan di Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, tangkapan tersebut bagi membantu siasatan berhubung kes seorang juruteknik yang kerugian sebanyak RM470,000 selepas terpedaya dengan ahli sindiket Macau Scam, baru-baru ini.

Dalam serbuan yang dilakukan itu, seorang wanita berusia 22 tahun dan tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 hingga ditangkap.

Tiga daripadanya beralamat di Pulau Pinang manakala seorang lagi iaitu remaja yang ditangkap beralamat di Sandakan, Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.