SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif menubuhkan badan sukarelawan Selangor Volunteer (Serve) bagi membantu petugas dan penerima vaksin serta melancarkan urusan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) negeri itu.
Penubuhannya diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd. Khairuddin Othman yang memaklumkan pihaknya melalui Majlis Penggerak Belia Selangor membuka tawaran kepada penduduk di negeri itu yang berminat menyertai sukarelawan.
“Serve bukanlah pesaing sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) yang diperkenal kerajaan Pusat, sebaliknya bersinergi bersama mereka dan memberi nilai tambah kepada pengurusan yang lancar di PPV.
“Malah dengan sinergi antara MyVac dan Serve diyakini dapat mempercepat proses vaksin di PPV dan menyegerakan program imunisasi yang dilaksanakan kedua-dua kerajaan negeri dan pusat,” katanya.
Beliau ditemui berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada 58 petugas MyVAC di PPV Mega Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, semalam yang berupa wang tunai dan barangan keperluan ketika bertugas yang disumbangkan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin menyasarkan untuk memperoleh 3,000 sukarelawan Serve dalam masa terdekat atau selewat-lewatnya menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN ONLINE










