Selangor penyumbang kes kematian Covid-19 terbanyak - Utusan Malaysia

Selangor penyumbang kes kematian Covid-19 terbanyak

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selangor yang mencatatkan kes positif Covid-19 harian tertinggi iaitu 4,308 kes hari ini, turut menjadi penyumbang terbanyak 46 kes daripada 102 kematian bagi seluruh negara. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain Selangor, Kuala Lumpur mencatatkan 16 kes diikuti 14 di Negeri Sembilan, tujuh di Pahang, enam di Johor, masing-masing tiga di Kedah dan Melaka, masing-masing dua di Sabah dan Pulau Pinang, serta masing-masing satu di Kelantan, Perak dan Sarawak.

“Seramai 53 lelaki termasuk satu warga asing dan 49 wanita termasuk empat warga asing berusia antara 29 hingga 86 tahun dengan melibatkan 61 warga emas, 19 kes tiada latar belakang penyakit dan 14 kes meninggal dunia di rumah. 

“Antara penyakit yang dikesan dalam kalangan baki pesakit iaitu kencing manis, darah tinggi, jantung, strok, obesiti, paru-paru, buah pinggang, strok, tiroid, dislipidemia, kanser, asma, tulang belakang, hormon dan hati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Noor Hisham berkata, Malaysia merekodkan penurunan kes positif Covid-19, namun menghampiri 9,000 iaitu 8,574 kes berbanding semalam, 9,105 sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 5,041 kes dengan 964 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 452 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 91,272 kes aktif. 

“Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 4,308 kes diikuti Negeri Sembilan (794), Kuala Lumpur (609), Kedah (415), Melaka (411), Pahang (314), Johor (407), Sabah (298), Sarawak (235) dan Pulau Pinang (231). 

“Hanya tiga negeri merekodkan kes bawah 200 iaitu Kelantan (133), Perak (168) dan Terengganu (140). 

“Bagi dua wilayah pula, Labuan (66) dan Putrajaya (45) manakala hanya Perlis merekodkan sifar kes,” katanya.

Mengulas mengenai 16 kluster baharu, beliau berkata, komuniti mencatatkan lapan kluster diikuti lima kluster tempat kerja dan tiga kluster kumpulan berisiko tinggi. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN