PUTRAJAYA: Selangor menjadi penyumbang terbanyak kes kematian Covid-19 sebelum tiba ke hospital (BID) dengan 181 daripada jumlah keseluruhan iaitu 670 kes untuk tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain Selangor, Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak 78 kes dan Sabah sebanyak 85 kes yang menjadikan tiga negeri terlibat antara tiga teratas kes BID negara.
Katanya, jumlah kes BID terbabit adalah sebahagian daripada 4,856 kes kematian tahun ini manakala sejak pandemik Covid-19 melanda negara, jumlah keseluruhan yang direkodkan adalah sebanyak 5,327 kes kematian.
“Kebanyakan kes kematian BID ini adalah dari pesakit berusia antara 50 hingga 70 tahun iaitu sebanyak 76.7 peratus dengan sekurang-kurangnya satu komorbid bersamaan 64.5 peratus maka ahli keluarga atau rakan serumah dinasihatkan peka terhadap keadaan dan kesihatan pesakit Covid-19 dengan memanfaatkan teknologi komunikasi untuk memantau kesihatan pesakit sepanjang pemantauan kuarantin di rumah.
“Antara tanda yang memerlukan rawatan segera adalah demam berpanjangan, kesukaran bernafas, sakit dada, kurang selera makan dan minum, kelesuan bertambah teruk, perubahan pada status mental seperti kurang tahap sedar dan kekeliruan, batuk, muntah, dan cirit yang semakin teruk, kurang buang air kecil, bibir atau jari menjadi kebiruan; dan ketepuan oksigen kurang daripada 95 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, orang ramai juga perlu cakna dalam memantau kesihatan kendiri terutamanya apabila disahkan positif dan berada dalam pemantauan di rumah.
“Maklumkan kepada Kementerian Kesihatan melalui notifikasi kendiri aplikasi MySejahtera dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) berdekatan sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen,” katanya.
Terdahulu, Malaysia mencatatkan penurunan kecil kematian iaitu 73 kes berbanding semalam, 84 kes dengan 50 warga emas manakala bakinya golongan rentan dengan Selangor terus kekal menjadi penyumbang terbesar kematian iaitu 29 kes.
Selain Selangor katanya, 13 kes di Negeri Sembilan, masing-masing lima kes di Kuala Lumpur dan Sabah, masing-masing empat kes di Johor, Pahang, dan Sarawak, tiga kes di Labuan, masing-masing dua kes di Kelantan dan Pulau Pinang, serta masing-masing satu kes di Melaka dan Kedah.
“Seramai 41 lelaki termasuk enam warga asing dan 32 wanita dan tiga warga asing berusia 24 hingga 91 tahun dengan 12 kes tiada penyakit dan 13 kes meninggal dunia di rumah,” katanya.










