Segerakan agihan BKC - Utusan Malaysia

Segerakan agihan BKC

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Segerakan Bantuan Khas Covid-19 (BKC), jangan tunggu Ogos’.

Demikian antara 10 permintaan Pemuda UMNO demi untuk menambah baik bantuan rakyat yang kini amat terjejas dengan pandemik Covid-19 di samping pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, malah belum ada lagi tarikh khusus pada Ogos untuk tujuan pembayaran BKC dan rakyat kini amat terdesak untuk memerlukan wang bagi menyara kehidupan.

“Jangan berkira sangat, luluskan sahaja kedua-dua kategori penerima iaitu Bantuan Prihatin Rakyat dan BKC serta penerima Geran Khas Prihatin (GKP). Hal ini kerana ramai mengadu dinafikan BPR dan BKC kerana ada GKP sedangkan ia untuk bantu perniagaan terjejas sedangkan BPR dan BKC lebih kepada keperluan menampung kehidupan diri dan keluarga.

“Malah di samping itu permudahkan proses rayuan tanpa perlu banyak dokumen pembuktian pengurangan pendapatan. Kerenah birokrasi akan menyusahkan rakyat terutamanya M40 yang hanya menerima RM250. Takut-takut kos nak merayu akhirnya yang tinggal berbaki jika berjaya sekalipun sudah tidak berbaloi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, Pemuda UMNO menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengambil kira data terkini memandang sekarang ramai rakyat terutamanya M40 telah jatuh ke kategori B40 sejak awal tahun ini ketika PKP 2.0 dan makin parah apabila PKP 3.0.

Jelasnya, data pembayaran cukai 2020 tidak menggambarkan realiti sebenar keadaan majoriti rakyat.

“Kerajaan wajar menambah suntikan fiskal dengan meningkatkan jumlah BKC terutamanya untuk M40 kerana jumlah RM250 terlalu sedikit dalam keadaan rakyat sudah sampai ke peringkat terdesak,” kata beliau.

Selain itu, Asyraf menggesa kemudahan i-Citra ditambah baik dengan dibenarkan pengeluaran secara sekali gus berbanding berkala setiap bulan dan kadar lebih tinggi mengikut simpanan pencarum, contohnya RM10,000 bagi yang ada simpanan RM100,000 ke atas atau lebih tinggi berkadaran dengan jumlah simpanan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Benarkan akses kepada Akaun Satu KWSP dan permudahkan pengeluaran i-Citra tanpa perlu melalui kerenah birokrasi dalam pengeluaran dan permohonan.

“Selain itu, dibenarkan akses kepada golongan T20 dan M40 untuk mengeluarkan caruman pada kadar lebih tinggi bagi tujuan melangsaikan komitmen-komitmen seperti hutang akibat daripada pendapatan yang terjejas secara mendadak,” katanya.

Mengulas moratorium pula, Asyraf menggesa kaedah moratorium oleh bank-bank diselaraskan dengan tidak mengenakan faedah terakru sehingga rakyat terpaksa membayar kos pinjaman lebih tinggi pada masa depan.

Beliau juga memohon ia diperluas kepada agensi kerajaan termasuk Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

“Terakhir sekali bantuan khas kecemasan untuk peniaga-peniaga kecil yang ramai mula terpaksa gulung tikar akibat PKP 3.0 yang berpanjangan dan tiada berkesudahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya