IPOH: Kerajaan negeri menolak dakwaan penutupan beberapa buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini disebabkan ketiadaan bekalan vaksin Covid-19.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bekalan vaksin masih mencukupi untuk kegunaan di negeri ini.
Menurut Saarani, penutupan beberapa buah PPV adalah ntuk memberi ruang kepada petugas dan sukarelawan berehat.
“Kalau PPV ditutup bukan kerana kekurangan vaksin, kita nak bagi ruang, janganlah kita berterusan (bekerja) 24 jam, tujuh hari seminggu.
“Kita juga nak beri ruang kepada petugas-petugas berehat dan pada waktu sama mereka akan sentiasa ada motivasi dan momentum untuk meneruskan tugas itu.
“Bekalan vaksin sudah pasti akan berkurangan kerana ia digunakan setiap hari namun vaksin masih mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.
Saarani mengulas mengenai dakwaan beberapa buah PPV di negeri ini yang ditutup akibat ketiadaan bekalan vaksin.
Sementara itu, ditanya mengenai Kluster Jalan IKA di Taiping yang merekodkan 181 kes positif semalam, Saarani berkata, ia tidak menjejaskan sasaran Perak untuk mencapai Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kluster berkenaan melibatkan pekerja kilang dan ia mudah untuk ditangani berbanding jika kes berlaku dalam komuniti,” katanya. – UTUSAN ONLINE