RM5,000 bayar urus mayat Covid-19 bukan Islam di NS

RM5,000 bayar urus mayat Covid-19

SEBUAH pusat pembakaran mayat di Seremban yang turut mengendalikan proses pembakaran mayat individu yang meninggal dunia akibat Covid-19. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengurusan mayat bukan Islam yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 di Negeri Sembilan dikenakan bayaran terlalu tinggi oleh pihak tertentu sehingga membebankan keluarga mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar berkata, bayaran bagi kematian biasa adalah sekitar RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu pakej namun kos pengurusan mayat kes Covid-19 dikenakan bayaran mahal.

“Kes pengurusan mayat bukan Islam termasuk India, Cina dan Sikh bagi proses pengebumian (ditanam) atau dibakar yang paling asas dikenakan kos sekitar RM2,500 sahaja.

J. ARUL KUMAR

“Bagaimanapun, kita difahamkan oleh pihak keluarga bahawa kos pengurusan mayat kes Covid-19 dikenakan caj yang mahal mencecah RM5,000 dan ini memberi kesan serta membebankan keluarga yang baru sahaja kehilangan orang tersayang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas Arul, bayaran dikenakan terlalu tinggi itu sesuatu yang tidak boleh diterima dan ia termasuk membabitkan pusat pembakaran mayat.

“Antara alasan yang diberikan oleh beberapa syarikat yang mengendalikan urusan pengebumian mayat tersebut adalah mereka terpaksa menanggung kos tambahan iaitu bagi mendapatkan bahan sanitasi dan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE).

“Pihak kami sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan bagi membekalkan PPE dan bahan sanitasi bagi tujuan mengurangkan kos tersebut,” katanya.

Menurut Arul, setakat ini tidak berlaku isu monopoli dalam pengurusan mayat bukan Islam dan keluarga boleh memilih mana-mana syarikat yang mengendalikan proses tersebut mengikut kemampuan masing-masing.

“Saya juga berharap kepada semua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah Covid-19 dan pusat pembakaran mayat supaya tidak mengenakan bayaran yang terlalu tinggi berbanding sebelum ini.

“Ini kerana mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak melalui proses upacara keagamaan seperti kebiasaan yang mengambil masa yang lama dan tidak melibatkan kos yang banyak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memohon semua pihak dapat bersimpati dan tidak membebankan keluarga yang kehilangan ahli keluarga yang tercinta.

Tambah Arul, pihaknya juga telah menyemak dengan beberapa agensi kerajaan dan mendapati bukan hanya syarikat-syarikat tertentu sahaja yang ditetapkan bagi menguruskan mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Oleh itu, pihak keluarga boleh memilih mana-mana syarikat yang boleh menguruskan jenazah Covid-19 yang dapat menawarkan kos pengurusan yang lebih rendah mengikut kemampuan mereka.

“Saya juga berharap persaingan yang sihat antara syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan seperti ini akan membantu keluarga dengan kos yang rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×