ARAU: Rakyat Perlis sebelum ini mampu menarik nafas lega selepas negeri ini kerap mencatat sifar kes Covid-19.
Namun beberapa hari ini, kes Covid-19 di negeri ini mula menunjukkan peningkatan dan dikatakan berpunca daripada individu yang merentas negeri.
Pengerusi Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) negeri, Azman Mohd. Yusof berkata, peningkatan kes di negeri ini adalah membabitkan kes import atau kes tempatan yang berjangkit daripada mereka yang datang atau pergi ke zon merah.
“Walaupun ada kes tempatan tetapi permulaannya adalah daripada kes luar sama ada yang balik daripada menziarah kematian atau datang dari zon merah.
“Bagaimanapun, kes yang aktif kebanyakanya jatuh dalam kategori satu dan dua iaitu yang masih lagi di peringkat terkawal dan insya-Allah akan sembuh.
“Jadi saya berharap agar semua dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) jika mereka pulang dari zon merah,” katanya di sini hari ini
Semalam, Perlis mencatatkan 10 kes baru Covid-19 iaitu dua kes import B dan lapan kes jangkitan tempatan yang mana kes turut melibatkan kontak rapat yang menghadiri majlis kematian di Kedah.
Sementara itu, Azman berkata, kerajaan negeri khuatir peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Perlis yang sudah mencapai dua angka semalam boleh menggangu proses peralihan negeri ini ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN). – UTUSAN ONLINE