PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menyifatkan tindakan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai langkah tepat.
Katanya, beliau sudah lama menyokong penubuhan RCI namun menganggap anggotanya perlu terdiri dari[ada pakar berkelayakan.
“Saya juga hairan mengapa Pelan Penstrukturan Semula tidak termasuk dalam terma rujukan RCI sedangkan pelan tersebut dirangka berpandukan kepada rumusan dapatan daripada firma audit yang disebutkan.
“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa RCI TH perlu telus dan profesional tanpa agenda politik di sebaliknya. Jika saya dipanggil memberi keterangan, saya bersedia mendedahkan langkah dan tindakan yang Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah ambil untuk selamatkan TH termasuk laporan polis yang dibuat ke atas individu terlibat dalam penyelewengan dana TH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mujahid, sepanjang tempoh 22 bulan diberikan amanah menjaga TH, beliau bertindak berpandukan atas laporan firma audit profesional yang disebut untuk menjayakan pelan penstrukturan semula yang mana TH berada dalam keadaan tenat dari sudut kewangan dan integritinya.
“Dua perkara asas yang saya lakukan segera iaitu pertama, memastikan pengeluaran hibah (dividen) hendaklah mematuhi Akta TH (1995) yang telah dilanggar sejak 2014. Kedua adalah menutup jurang defisit antara aset dan liabiliti yang mengikut laporan audit 2017 adalah sebanyak RM4 Bilion.
“Pelan Penstrukturan Semula TH diperkenal secara telus dan mendapat kelulusan Kabinet serta dijelaskan di dalam Parlimen secara terbuka. Isu TH kembali hangat apabila Perikatan Nasional (PN) berkuasa dan isu ‘jual aset orang Islam’ terus disensasikan walaupun kejayaan pelan penstrukturan TH diperakui oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Kenyataan itu sebagai mengulas keputusan jemaah menteri semalam yang bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.
Siasatan itu merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berge dari tahun 2014 hingga 2020. – UTUSAN ONLINE










