Radzi Jidin angkat sumpah Ahli Dewan Negara kali kedua - Utusan Malaysia

Radzi Jidin angkat sumpah Ahli Dewan Negara kali kedua

DR. MOHD. RADZI MD. JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin merupakan antara empat Ahli Dewan Negara yang mengangkat sumpah memegang jawatan sebagai Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim, hari ini.

Mohd. Radzi dilantik semula untuk penggal kedua oleh Yang di-Pertuan Agong, berkuat kuasa mulai 17 Julai lalu hingga 16 Julai 2024 selepas perkhidmatannya untuk penggal pertama berakhir pada 16 Julai lalu.

Selain beliau, dua Ahli Dewan Negara turut dilantik untuk penggal kedua iaitu Datuk John Ambrose dan Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee.

Sementara Datuk Bobbey Ah Fang Suan adalah lantikan kali pertama pilihan Dewan Undangan Negeri Sabah berkuat kuasa mulai 5 Jan lalu hingga 4 Jan 2024.

Keempat-empat mereka hadir pada upacara mengangkat sumpah di Dewan Negara, Blok Utama Parlimen yang disiarkan secara langsung di saluran Youtube rasmi Parlimen Malaysia.

Rais ketika berucap dalam majlis angkat sumpah itu memberi peringatan kepada keempat-empat Ahli Dewan Negara itu supaya melaksanakan segala amanah yang diberikan dengan cemerlang.

“Sumpah yang dilafazkan yang berhormat Senator sekalian, harus dijunjung dan didaulatkan dengan segala upaya agar Perlembagaan Persekutuan dan sistem legislatif dapat berfungsi dengan baik.

“Renungkan hal-hal di persekitaran kita dan tanya diri kita bagaimana untuk menjadi senator, wakil rakyat, menteri dan timbalan menteri yang cemerlang untuk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata peranan Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yang ditubuhkan akan ditambah baik fungsinya agar lebih formal dengan dijadikan sebagai Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.

Katanya, jawatankuasa khas itu akan memastikan segala kemaslahatan rakyat dan isu yang melingkari negara dapat diselesaikan sebaik mungkin sekali gus menjadikan Dewan Negara sebagai institusi yang berwibawa.

“Pesan kepada kepada semua menteri dan timbalan menteri yang berkhidmat berkaitan dengan Dewan Negara agar semuanya bersama-sama menjayakan peranan kemasyarakatan dan kesejahteraan melalui jawatankuasa pilihan khas ini,” katanya.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dijadual 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos manakala Mesyuarat Khas Dewan Negara berlangsung pada 3 hingga 5 Ogos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya