Pusat penilaian Covid-19 di Petaling akan ditambah - Utusan Malaysia

Pusat penilaian Covid-19 di Petaling akan ditambah

ANTARA mereka yang hadir untuk mendapatkan penilaian kesihatan mengenai status Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati Shah Alam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bercadang menambah Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di daerah Petaling berikutan penerimaan jumlah pesakit menjangkaui 4,000 orang sehari menimbulkan kesesakan dan ketidakselesaan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara termasuk masalah had kakitangan perlu diselesaikan sebelum pembukaan CAC baharu dibuat supaya penilaian dan rawatan kepada pesakit dapat dibuat dengan pantas.

Hal itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyuarakan masalah kesesakan di CAC Stadium Malawati di sini kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS), Datuk Dr. Indera Sha’ari Ngadiman.

“Saya turut menyuarakan pandangan kepada mereka bahawa mungkin kita perlu membuka satu lagi CAC di daerah Petaling. Ada keperluan ia bukan hanya bangunan sahaja tetapi pegawai bertugas haruslah mencukupi.

“Kita juga mempromosikan tentang kewujudan CAC di tempat lain di mana kehadiran pesakit positif agak kurang sekitar 200 hingga 300 pada satu-satu masa,” katanya dalam wawancara bersama sebuah stesen televisyen swasta malam tadi.

Dalam wawancara itu, beliau turut memaklumkan Noor Hisham bersetuju supaya CAC turut beroperasi pada Sabtu dan Ahad untuk mengelakkan berlaku lambakan pesakit pada Isnin dan Selasa.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan keadaan di CAC Stadium Malawati sesak, malah terdapat pesakit positif Covid-19 dilapor tiba seawal pukul 5.30 pagi untuk mendapatkan penilaian di sana sebelum diberikan arahan susulan atau rawatan.

Dalam pada itu, Amirudin turut menjelaskan pembukaan CAC di Dewan Sri Andalas, Klang yang dilihat berada berdekatan dengan kawasan perumahan di sana, namun memaklumkan dewan berkenaan dipilih atas nasihat JKNS.

“Lokaliti dipilih itu atas nasihat dan cadangan yang dikeluarkan oleh pihak JKNS dan saya ingin memaklumkan keseluruhan CAC ini, operasinya adalah dikendalikan JKNS di bawah Kementerian Kesihatan.

“Pertama kita menaik taraf serta meningkatkan keselesaan di Andalas dengan menempatkan tempat letak kereta di Taman Rakyat dan menyediakan bas Smart Selangor untuk membawa pesakit yang datang ke sana dan kedua, meletakkan halangan tertentu yang mengelakkan mereka beratur dan sesak di hadapan premis dan rumah berdekatan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Amirudin turut menyatakan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dari semasa ke semasa bagi menambah baik kemudahan CAC bagi membolehkan pesakit Covid-19 diberi perhatian dengan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya