Proklamasi Darurat tidak sah berdasarkan undang-undang negara

Proklamasi Darurat tidak sah – Mahathir 

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengisytiharan Darurat yang telah dikuat kuasa pada Januari lalu tidak sah berdasarkan undang-undang negara kerana tidak melalui persidangan bersama ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Dalam satu sidang media, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, salah satu agenda utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan persidangan Parlimen adalah bagi meluluskan proklamasi Darurat.

“Pada mulanya mereka ini mengesahkan pengisytiharan darurat. Kenapa sekarang? Sepatutnya pengisytiharan itu perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum dilulus tetapi itu tidak dilakukan maka Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak bersidang.

“Setelah berjalan sekian lama, barulah usaha dibuat kononnya untuk memenuhi undang-undang pengisytiharan Darurat tetapi sudah banyak tindakan dan undang-undang yang telah dibuat kerajaan kononnya supaya tindakan kerajaan itu dilihat seperti satu tindakan yang berhak dibuat kerana berada dalam Darurat tetapi situasi Darurat itu tidak ada kerana dia tidak dibentang kepada Parlimen,” katanya semalam.

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Tambah Mahathir, tindakan kerajaan PN itu memperlihatkan mereka seperti tidak kisah akan kebajikan rakyat malah seolah-olah memperlekehkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Jadi ini bukan sesi Parlimen tetapi ini adalah sesi penerangan. Sekali lagi, ini bukan persidangan Dewan Rakyat. Perkara ini diadakan semata-mata untuk membohongi rakyat bahawa mengikut kehendak Yang di-Pertuan Agong supaya Dewan Rakyat diadakan persidangan secepat mungkin.

“Maka dia adakan satu majlis taklimat berkenaan dengan apa yang telah dilakukan pihak kerajaan ataupun apa yang dicadangkan oleh kerajaan. Ini menunjuk jelas bahawa kerajaan hari ini tidak ikhlas. Kerajaan sendiri tahu ini bukanlah persidangan Dewan Rakyat tetapi dia cuba untuk menunjukkan itu adalah persidangan Dewan Rakyat,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Manakala, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bagi Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN