GEORGETOWN: Kemunculan tiga lelaki yang memakai kostum Predator dan Black Panther di pekarangan Hotel Royal, Jalan Larut, di sini pagi ini ‘menggemparkan’ pengguna jalan berkenaan yang menjadi laluan utama mereka yang ingin ke pusat bandar.
Bagaimanapun, kemunculan ketiga-tiga mereka bukanlah untuk ‘berperang’ sesama sendiri, namun berganding bahu menyerahkan sumbangan sarapan pagi percuma kepada pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan.
Pengurus Besar Hotel Royal, Amran Taib berkata, pihaknya bekerjasama dengan kumpulan Adiwira Pulau Pinang itu mengedarkan sarapan pagi kepada orang ramai untuk menceriakan hari mereka.
“Kami bekerjasama menyumbangkan 400 bungkus nasi lemak, 150 bungkus bihun dan 200 bungkus air kopi dan teh bersama tiga ahli kumpulan Adiwira Pulau Pinang bermula pukul 9 pagi ini.
“Kehadiran tiga ahli kumpulan ini yang memakai kostum Predator dan Black Panther ternyata menarik perhatian ramai dan menggembirakan mereka,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Menurut Amran, serentak itu juga pihaknya melancarkan kempen ‘You Contribute, We Distribute’ bermula hari ini untuk memudahkan mana-mana pihak yang ingin menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukannya.
“Mereka hanya perlu berhubung dengan pihak Hotel Royal dan kami akan menyediakan makanan yang mereka ingin sumbang serta serahkan kepada orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Wan Hafizi Wan Zakaria, 40, yang memakai kostum Black Panther berkata, dia yang meminati watak berkenaan tetap bersemangat meskipun bermandi peluh di dalam kostum tersebut untuk membantu menceriakan orang ramai.
“Dalam keadaan sekarang ramai yang tertekan, jadi apabila kemunculan kami dapat membuatkan mereka tersenyum itu sudah cukup membahagiakan kami,” katanya.
Tambahnya, kumpulan mereka juga bersedia membantu mana-mana pihak yang mahu menyampaikan sumbangan serta menjadi penghibur untuk mengurangkan tekanan orang ramai.
Bagi mereka yang ingin turut sama menyumbang kepada orang ramai menerusi Hotel Royal dan Kumpulan Adiwira Pulau Pinang boleh berhubung dengan Amran di talian 016-4188474 atau 04-2267888 serta Mohd. Noor Hisham Awang Noh (018-9443277). – UTUSAN ONLINE










