IPOH: Penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak menggunakan bas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pinji di sini, mampu memberi 480 dos suntikan vaksin Covid-19 setiap hari sekiranya dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, inisiatif yang dirancangnya dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan itu dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, pihaknya masih menunggu kelulusan daripada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Negeri Perak untuk membenarkan PPV bergerak dilaksanakan di DUN Pasir Pinji.
“Kita menyasarkan sebanyak 480 dos sehari diberikan kepada orang ramai dengan empat kaunter beroperasi selama lapan jam sehari.
“Jika sehari 480 dos dalam sebulan ada 30 hari maka kita dapat memberi suntikan kepada 14,400 orang sebulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, penyediaan PPV bergerak itu akan memberi keutamaan kepada golongan yang dikenal pasti mempunyai masalah buta digital, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan yang tidak mempunyai pengangkutan ke PPV sedia ada.
“Kita rasa PPV sekarang cukup tapi kita perlu ambil berat mereka yang tidak mampu hadir, mereka yang buta huruf dan digital serta yang mempunyai masalah pengangkutan ke PPV.
“Ini bukan sekadar main sentimen guna orang susah kerana ada yang setengah jam berjalan kaki, hari-hari kena jalan kaki untuk semak tarikh terima vaksin kerana mereka tak tahu pakai telefon pintar,” katanya. – UTUSAN ONLINE