KUANTAN: Kerajaan negeri menetapkan pemberian potongan sehingga 50 peratus ke atas sewaan bulanan bagi premis-premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemotongan itu untuk empat bulan bermula Jun lalu hingga September ini.
“Seramai 6,237 penyewa terdiri daripada peniaga premis dan penjaja akan menerima manfaatnya.
“Melalui cara ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penyewa susulan kehilangan hasil perniagaan apabila kita berada di dalam tempoh kawalan ketat akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, menerusi pemberian itu sebagai contoh jika kadar sewaan bulanan tertinggi sebanyak RM9,000 ia akan menjadi RM4,500 manakala kadar sewaan bulanan terendah RM10 (bagi petak-petak penjaja di pasar) menjadi hanya RM5.
“Dengan pemberian potongan 50 peratus ini juga bermakna, kesemua PBT di negeri ini telah mengorbankan hasil kutipan bulanan kira-kira RM1.3 juta atau kira-kira RM5.2 juta untuk empat bulan.
“Inilah pengorbanan terbesar yang dilakukan oleh PBT-PBT dan adalah diharapkan, semua penyewa yang terlibat dapat menghargainya,” katanya.










