Politik: Jangan libatkan penjawat awam - Utusan Malaysia

Politik: Jangan libatkan penjawat awam

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangan libatkan penjawat awam sekiranya Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan,  Ronie Liu cuba bermain politik dalam isu membabitkan pekebun durian di Raub.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, penjawat awam hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga keselamatan semua pihak.

Apa yang mengecewakan katanya, tindakan Ronnie mengeluarkan kata-kata  provokasi terhadap pegawai polis yang bertugas jelas menunjukkan beliau tidak menghormati undang-undang serta  penjawat awam.

“Lebih memalukan tindakan tersebut dilakukan oleh seorang individu yang sepatutnya menjadi contoh teladan baik kepada masyarakat. Bagaimanapun tindakan yang dilakukan oleh Ronnie itu hanya mencerminkan jati dirinya yang jelas melanggar prinsip kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan yang terkandung dalam Rukun Negara. 

“Tindakan yang sengaja membuat provokasi kepada penjawat awam dalam patut diberikan tindakan yang tegas sebagai pengajaran kepada semua pihak apatah lagi jika melibatkan pemimpin masyarakat seperti ahli-ahli yang berhormat yang bertindak di luar norma kebiasaan. 

“Ia suatu budaya yang tidak sihat dan memberi teladan yang kurang baik kepada masyarakat umum. Sedangkan peraturan dan undang-undang adalah merupakan pusat rujukan kita semua dalam menyelesaikan sebarang permasalahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Polis membuka dua kertas siasatan terhadap  Ronnie susulan kekecohan yang berlaku di Kompleks Mahkamah Raub sebelum ini.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) 2021. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN