ALOR SETAR: Polis meningkatkan kawalan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam dekat sini hingga kawasan bersempadan Perlis bagi mengelak kegiatan penyeludupan barang larangan termasuk haiwan korban menjelang Hari Raya Aidiladha.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kawalan lebih ketat akan dilakukan di lokasi yang disyaki menjadi laluan penyeludupan termasuk lorong tikus.
Katanya, pihaknya juga akan meneliti semula aspek penugasan di kawasan tersebut bagi memastikan kawalan dilakukan dengan berkesan.
“Terdapat beberapa pagar (di kawasan sempadan) yang dipotong tetapi ia telah dibetulkan semula.
“Bagaimanapun kumpulan penyeludup ini dipercayai akan terus mencari peluang terutamanya menjelang dan semasa hari raya korban nanti,” katanya. selepas Majlis Penyerahan Bantuan Covid-19 Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn. Bhd. (MADACorp) di Ibu Pejabat MADACorp di Menara Peladang di sini hari ini.
Pada majlis itu, Kamarul Zaman menerima sumbangan 1,000 kampit beras daripada Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman.
Sumbangan beras itu akan diagihkan oleh polis menerusi Ops Bantu kepada penduduk di negeri ini yang terkesan akibat Covid-19. – UTUSAN ONLINE










