MELAKA: Pemberian vaksin influenza secara percuma hanya dikhususkan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas, khususnya mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, jantung dan hipertensi, selaras dengan polisi ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Hee Sem berkata, keutamaan diberikan kepada kumpulan berisiko tinggi bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan teruk serta komplikasi serius akibat influenza.
Menurutnya, kebanyakan kes influenza adalah ringan dan boleh sembuh sendiri dalam tempoh lima hingga tujuh hari dengan rawatan sokongan, justeru vaksinasi lebih tertumpu kepada warga emas serta individu yang mempunyai sistem imuniti rendah.
“Kumpulan ini amat digalakkan mendapatkan vaksin influenza secara tahunan bagi mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian akibat komplikasi penyakit berkenaan,” katanya menjawab soalan Datuk Sulaiman Md. Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas cadangan kerjasama dengan klinik swasta bagi membantu golongan B40, beliau berkata, langkah itu dilihat sebagai satu opsyen wajar dipertimbangkan bagi memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh dan berkualiti.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Khaidirah Abu Zahar (BN-RIM) berhubung status lot tanah bekas Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kampung Simpang Kerayong, beliau berkata, klinik berkenaan ditutup setelah diisytiharkan tidak selamat pada 2013.
Tambahnya, penilaian teknikal mendapati struktur bangunan berisiko kepada keselamatan sebelum KKM meluluskan penutupan penuh pada 2022 dan tapak tersebut diserahkan semula kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. – UTUSAN










